Bersama Berjuang

Tuesday, September 25, 2012

TUN M: "Malaysiakini Juga Terlibat"



Portal propembangkang, Malaysiakini dilihat turut terlibat dalam agenda asing untuk menguasai politik negara dan menukar kerajaan sedia ada melalui laporan berita bertopengkan nilai demokrasi serta kebebasan bersuara.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, penglibatan portal berita serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha itu adalah amat tidak sihat kerana pemimpin yang bakal dipilih nanti pasti terpaksa mengikut telunjuk pihak luar.

"Sama ada nilai liberal Barat atau (George) Soros, dia nak satu Perdana Menteri yang dia boleh guna, sebab itu dia nak regime change di Malaysia supaya orang yang jadi Perdana Menteri ikut telunjuk dia.

"Malaysiakini semua ada kaitan, kesemuanya sama," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pakar Perundingan Mengenai Islam dan Kesihatan Wanita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai operasi portal propembangkang, Malaysiakini serta penglibatan NGO seperti Suara Rakyat Malaysia (Suaram) yang terbukti menerima dana daripada Open Society Institute (OSI) milik Soros.

Di antara pembiayaan lain yang diterima pertubuhan berkaitan adalah daripada National Endowment For Democracy (NED) milik seorang lagi tokoh Yahudi, Carl Gershman. 

Sebelum ini, wartawan veteran, YL Chong mendedahkan beliau meletak jawatan sebagai Pengarang Berita Malaysiakini lebih sedekad yang lalu kerana pengurusan portal berita propembangkang itu enggan mengakui menerima dana daripada Soros.

Menurut Chong lagi, Ketua Pengarang Kumpulan dan pengasas Malaysiakini, Steven Gan pernah mengakui portal itu akan 'mati' jika mengaku menerima dana daripada Soros.

Sementara itu, Dr. Mahathir ketika berucap memberitahu, peningkatan kes jenayah serta isu sosial di kalangan umat Islam di seluruh dunia adalah disebabkan mereka tidak mengamalkan ajaran sebenar agama itu seperti tertulis di dalam al-Quran.

"Hari ini ramai yang terikut-ikut dengan interpretasi dibuat pelbagai pihak yang mempunyai kepentingan masing-masing sehingga berjaya mengelirukan umat Islam menyebabkan mereka tidak mampu mempertahankan diri," katanya. - Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment

Kepada yang "Anonymous", sila tinggal nama glamer dibawah komen anda. DAP beromen, Pas tanggung, berani komen, sendiri tanggung...hehehehe.. Terima kasih!!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...