Bersama Berjuang

Showing posts with label Comango. Show all posts
Showing posts with label Comango. Show all posts

Wednesday, November 20, 2013

COMANGO Memperjuang Hak Asasi Agama? Siapa Yang Kata??? Baca Nih...


COMANGO atau Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia yang mencabar kerajaan berkenaan hak LGBT, murtad, dan nama Allah untuk kegunaan Kristian, semakin terserlah sebagai pejuang hak asasi yang hipokrit. 

Tan Sri Dr. Mohd Yusof Noor, Pengerusi Majlis Universiti Islam Malaysia pula menyifatkan perjuangan COMANGO sebagai keliru iaitu tidak dapat mendefinasikan ‘hak asasi’ dalam konteks yang tepat.  Hujah beliau, ‘hak asasi’ seharusnya meliputi hak asasi semua golongan dan semua perkara di dunia ini.   Bagaimanapun, COMANGO telah menyempitkan definisi ‘hak asasi’ dengan memilih hanya hak-hak yang kebetulan bertentangan dengan agama, terutamanya agama Islam sahaja. 

Bagi COMANGO, agama Islam telah menghalang kebebasan manusia untuk bertindak mengikut nafsunya. 

Secara dasarnya, bukan hanya agama Islam yang menentang LGBT tetapi semua agama-agama langit mengharamkannya. Seperti yang kita tahu, Vatican sendiri menyokong perjuangan kumpulan Kristian di negara-negara Eropah untukmenghalang pengiktrifan hak LGBT. 

Malangnya, ajaran Kristian mempunyai berbagai versi yang berbeza atau bertentangan antara satu sama lain mengikut tempat, citarasa dan juga ‘kaum’. 

Jika Kristian di negara lain turut menentang terjemahan nama Tuhan di dalam Injil sebagai ‘Allah’, Kristian di Malaysia pula bermati-matian menuntut untuk menggunakan nama Allah di dalam risalah agama mereka. Alasan yang diberi adalah, ia telah digunakan sekian lama di Sabah dan Sarawak. 

Perkara ini sebenarnya telah pun diputuskan di mahkamah iaitu pihak Kristian di Sabah dan Sarawak boleh meneruskan penggunaan nama Allah sepertimana kebiasaan mereka kerana yang dihalang oleh mahkamah hanyalah penerbitan The Herald yang menggunakan nama Allah untuk edaran di Semenanjung. 

Logik keputusan mahkamah ini ialah, sejak azali lagi, Kristian di Semenanjung tidak menggunakan nama ‘Allah’ di dalam risalah dan ceramah mereka dan ia tidak pernah menjadi masalah sebelum ini.  Entah kenapa akhir-akhir ini Kristian di Malaysia ingin menyebarkan nama ‘Allah’ di dalam ajaran mereka di sini tanpa memberikan alasan konkrit selain kerana ia telah lama digunakan di Sabah Sarawak. 

Jelas, ada pihak Kristian di Malaysia yang mempunyai niat jahat untuk memurtadkan umat Islam di Semenanjung melalui manipulasi halus. 

Sudah tentu sebagai sebuah negara Islam, kerajaan mempunyai hak untuk menggubal undang-undang yang menghalang umat Islam dari murtad atau dimurtadkan dengan sewenang-wenangnya. 

Oleh itu, tindakan COMANGO mencabar semua perkara ini membuktikan bahawa mereka adalah hipokrit terbesar yang sengaja ingin mencari masalah dengan umat Islam. 

Hakikatnya, apa yang dituntut oleh COMANGO samalah dengan menuntut agar kerajaan menukar perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi.  Selain itu, COMANGO sebenarnya menuntut agar sebahagian amalan Islam itu dilonggarkan atau ditolak dengan mengiktiraf hak kepada golongan songsang LGBT.  COMANGO juga ingin menafikan hak umat Islam untuk mempertahankan akidah saudara-saudara mereka. 

Pendek kata, bagi COMANGO, umat Islam tidak punya hak untuk mengamalkan kepercayaan mereka dan kerajaan tidak punya hak untuk meletakkan Islam sebagai agama rasmi. 

Setiap agama ada garispanduan tertentu yang wajib diikuti oleh setiap penganutnya dan masyarakat wajib menghormati kepercayaan mereka.  Adalah tidak wajar menyuruh penganut Hindu agar jangan memecahkan kelapa di Hari Thaipusam atas alasan membazir.  Adalah tidak wajar menyuruh penganut Buddha agar jangan membakar colok atas alasan berbau busuk.  Dan adalah tidak wajar mengejek penganut Hindu yang enggan makan daging lembu walaupun kebuluran atau mengejek penganut Buddha yang amat gemar makan babi walaupun ia merupakan binatang yang paling kotor yang memakan najis sendiri. 

Semua agama ada pantang larangnya dan ritualnya yang kita perlu hormat dan terima sebagai sebahagian dari kehidupan di dunia.  Semua negara ada undang-undangnya, semua kaum atau puak ada adatnya dan semua ini wajib dihormati sekiranya kita berada di dalam jajahan negara atau kaum tersebut. 

Bak kata Tan Sri Yusof Nor, kerajaan juga ada hak ke atas negaranya dan COMANGO tidak berhak mempersoal hak sesebuah kerajaan untuk mentadbir mengikut cara masing-masing yang dirasakan terbaik untuk majoriti rakyatnya.  Ingatlah, di dalam pentadbiran demokrasi, dan kita percaya COMANGO turut mendokong demokrasi, hak majoriti adalah lebih utama dari minoriti.  Di Malaysia, umat Islam adalah majoriti manakala Kristian mahupun golongan songsang LGBT hanyalah minoriti kecil. 

Mungkin COMANGO tidak tahu bahawa manusia bertamadun adalah manusia yang mengikut peraturan. Nampaknya, COMANGO terdiri dari manusia yang tidak bertamadun, yang mengimpikan dunia tanpa peraturan. 

Justeru, sebagai manusia bertamadun, kita wajib menentang COMANGO dengan segenap kudrat yang termampu. 

Tuesday, November 19, 2013

Kenapa Strategi Anwar Ibrahim Tiba-Tiba Bangkitkan Isu Pengintipan Amerika? Ada Sebab Tu Derrr...!!!


Ketika semua masyarakat Islam dunia khususnya Malaysia sedang memberikan tumpuan serius terhadap tuntutan Gabungan NGO Hak Asasi Manusia (Comango), Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim dilihat cuba mengalih perhatian masyarakat dengan mengadakan sidang akhbar bagi membangkitkan isu lain.

Bertempat di Parlimen semalam, dia mengatakan kerajaan Barisan Nasional, pimpinan YAB Datuk Seri Najib Tun Razak takut untuk mengkritik Amerika Syarikat ekoran dakwaan berhubung kegiatan intipan yang dilakukan. Konon atas dasar prihatin, dia mengatakan kerajaan Malaysia seharusnya bangkit mempertikaikan tindakan tidak bertanggungjawab itu.

Namun, persoalannya ialah, sekiranya benar Anwar prihatin terhadap isu dan masalah negara, mengapakah dia langsung tidak menyentuh berhubung tuntutan yang dikemukakan oleh Comango? Bukankah isu tersebut juga tidak kurang pentingnya, tambahan pula ia menyentuh sensitiviti agama Islam? Atau mungkinkah Anwar juga turut bersetuju dengan tuntutan yang dikemukakan oleh Comango itu?

Antara tuntutan yang dikemukakan Comango adalah hak kebebasan orientasi seks LGBT, hak kebebasan murtad bagi orang Islam dan hak kesamarataan agama di negara ini selain mempersoalkan kes tuntutan penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian, larangan terhadap penganut ajaran Syiah dan hak seorang bapa beragama Islam untuk mengislamkan anak-anak di bawah umur.

Selain daripada itu, Comango juga secara spesifik mendesak Seksyen 377A Kanun Keseksaan berkaitan jenayah liwat dan enakmen-enakmen jenayah syariah yang bertujuan menyekat gejala LGBT, murtad serta penyebaran ajaran Syiah dimansuhkan.

Kerajaan sebelum ini memberikan jaminan tidak teragak-agak mengambil tindakan ke atas mana-mana anasir yang cuba menjejaskan keharmonian dan mencabar Perlembagaan Persekutuan termasuklah Comango. Ia disifatkan sebagai pencabulan kepada Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang Islam dan tindakan akan diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Selain itu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan yang diketuai oleh Gabungan pertubuhan-pertubuhan Islam Dalam Proses Semakan Berkala Sejagat (MuslimUPRo) dilihat turut memainkan peranan yang proaktif bagi mendesak tindakan terhadap Comango.

Malah media arus perdana semalam melaporkan, MuslimUPRo akan menghantar memorandum kedua bagi mencadangkan penubuhan satu pasukan khas ke Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) bagi menangani isu Islamophobia dan isu hak asasi manusia yang terkeluar dari landasan Islam.

Delegasi MuslimUPRo sebelum ini telah memantau tuntutan yang dibuat oleh Comango termasuk dalam isu proses semakan berkala sejagat (UPR) ke atas Malaysia yang memasuki pusingan kedua melalui Majlis Hak Asasi Manusia PBB di Geneva, Switzerland pada 24 Oktober lalu.

MuslimUPRo dianggotai pertubuhan Islam utama negara antaranya Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). 

Anak perempuan Anwar, Nurul Izzah sebelum mengatakan tuntutan Comango itu tidak membahayakan negara. 

Kesimpulannya sebagai Ketua Pembangkang, Anwar seharusnya berani untuk tampil bagi menyatakan pendiriannya berhubung tuntutan yang dikemukakan itu. Apa guna berlagak alim, sekiranya takut untuk menyatakan pendirian pakatan pembangkang dalam isu Comango.

Friday, November 15, 2013

Marina Mahathir Keliru? Confused? atau Tak Sedar Diri?

Apabila kita merasa diri kita terlalu hebat, maka kita akan secara tidak sedar telah menutup ruang untuk menerima ilmu baru.   Apabila ruang untuk menerima ilmu tertutup, apa yang belaku ialah pengetahuan kita menjadi terhad, yakni tidak mampu berkembang.  Akibatnya, kita kekal di takuk yang sama dan tidak mampu melihat sesuatu itu secara meluas dan mendalam dari sudut-sudut yang berbeza.

Inilah yang berlaku kepada Marina Mahathir.

Marina yang membesar di luar negara dan di kelilingi berbagai bangsa dari berbagai agama, merasakan yang beliau sudah mempunyai pengetahuan yang cukup mengenai hidup berbanding orang lain yang terikat pada nilai bangsa dan agama masing-masing.  Marina percaya bahawa keterbukaan adalah sama dengan kebijaksanaan.  Lebih terbuka seseorang, lebih bijak dan lebih baiklah orang itu, mengikut logik fikirannya.

Oleh kerana itu, Marina memandang tinggi kepada cara hidup barat dan merasa yakin bahawa cara hidup sebegitulah yang terbaik.  Sampai ke satu tahap, Marina gagal membezakan baik dan buruk kerana terlalu menyanjung barat.

Seorang yang bijak pasti tahu bahawa dalam setiap sesuatu di dunia ini, pasti ada baik buruknya.  Yang baik mengenai barat adalah ilmu dan tamadunnya (yang mana diwarisi dari tamadun Islam) dan yang buruk mengenai barat ialah kurangnya nilai kekeluargaan dan kemasyarakatan.  Walaupun barat kononnya menjuarai hak asasi manusia, tetapi barat juga telah merendahkan nilai diri seorang manusia dengan menerima nilai-nilai kebinatangan yang berkiblat kepada nafsu.

Malangnya, Marina mengambil semuanya secara borong dengan menganggap semua mengenai barat itu adalah baik dan semua yang tidak kebaratan itu sebagai tidak baik dan mundur.

Jelas, Marina telah tidak mewarisi walaupun sebesar hama dari kebijaksanaan bapanya.

Hari ini, Marina berdiri atas platform hak asasi manusia dan hak asasi wanita melalui berbagai-bagai NGO.   Antaranya ialah Sisters in Islam (SIS). 

Marina pernah dijemput merasmikan program Seksualiti Merdeka pada tahun 2011 bagi mempromosi seks songsang sebagai hak asasi. Apabila program tersebut dikecam hebat, Marina tampil membelanya dengan menafikan ia sebagai pesta seks tetapi Marina gagal memahami bahawa kecaman tersebut ditujukan kepada perlakuan songsang atau luar tabie yang menyalahi fitrah semulajadi manusia serta bertentangan dengan agama.

Keterbukaan fikiran Marina nampaknya tidak mampu membantunya mengemukakan hujah balas yang bernas.  Perkara yang sama berlaku apabila Marina dikecam oleh Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) mengenai isu tuntutan COMANGO.

ISMA baru-baru ini mengedarkan risalah yang memaparkan ‘dalang’ di belakang COMANGO berdasarkan kapasiti beliau sebagai Ahli Lembaga Pengarah SIS yang menjadi sebahagian dari watak utama dalam tuntutan itu.

Marina bagaimanapun, menafikan yang beliau terlibat dengan COMANGO dan mengugut akan menyaman ISMA.  Penafian Marina menyebabkan ramai yang keliru termasuk penyokongnya sendiri.

Marina telah menyatakan secara terbuka pendiriannya mengenai seks songsang atau LGBT dan Marina juga pernah membuat kenyataan yang menggambarkan beliau menyokong murtad di dalam salah satu tulisan beliau sepertimana petikan berikut:

“Terdapat kecenderungan banyak pihak untuk mendakwa sesiapa yang berfikiran berbeza dari mereka, lebih dari sebelum ini. Yang anehnya mereka ini lebih minat memberkas dari kalangan sesama akidah. Ianya umpama menyertai sebuah kelab, dan kemudian anda tidak dibenarkan sekali-kali meninggalkannya walaupun anda sudah tidak menyenangi peraturan-peraturannya."

Dua perkara ini, iaitu LGBT dan murtad, merupakan antara tuntutan COMANGO yang menjadi isu utama yang mengundang kecaman hebat terutama dari ISMA.

Justeru kita tidak faham kenapa apabila dikecam oleh ISMA, Marina enggan mengaku menyokong atau pun terlibat dengan COMANGO pula.  Jika ditafsirkan dengan ringkas, kenyataan Marina bolehlah ditulis seperti berikut:

“Marina sokong LGBT dan murtad tetapi Marina tak sokong tuntutan COMANGO.”

Sudah tentulah kenyataan ini bersifat kontra dan tidak masuk akal sama sekali.

Kini terserlah sudah bahawa Marina adalah seorang manusia yang keliru seperti juga para pengikutnya.  Ini terbukti melalui laman-laman sosial para pengikutnya, di mana mereka nampaknya langsung tidak memahami apa yang berlaku sehinggakan apabila isu ISMA vs Marina menjadi hangat, mereka menunjuk sokongan kepada Marina dengan kata-kata pujian kerana tegas menyokong hak LGBT dan murtad.   Sedangkan isu di sini ialah Marina menafikan menyokong perkara tersebut melalui COMANGO. 

Berbalik kepada masalah golongan ‘terbuka’ atau lebih bangga dikenali sebagai ‘liberal’ seperti Marina, episod ini mendedahkan bahawa mereka ini tidaklah sehebat mana dan jauh sekali lebih bijak dari Melayu biasa yang kukuh jatidirinya.

Manusia yang tiada jatidiri, enggan menerima dirinya sendiri dan juga budaya serta adat kaumnya, secara semulajadinya adalah manusia yang keliru.  Kekeliruan yang berserta dengan keangkuhan akhirnya membawa kepada kebodohan.

Semoga Marina belajar sesuatu dari apa yang berlaku iaitu keterbukaan tidak sama dengan kebijaksanaan. Marina perlu belajar merendah diri dan mengakui bahawa kebebasan hidupnya tidak menjadikan beliau lebih hebat dari sesiapa.  Malah, ia mungkin membawa kehinaan pada diri sendiri. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...