MINGGUAN: Bagaimana saudara sebagai bukan Melayu melihat dari sudut perpaduan sempena Hari Malaysia?
LIM SWEE TIN: Saya mempunyai banyak pandangan tentang perpaduan atau dalam bahasa sasteranya bercapah-capah atau bercemperai.
Secara luarannya kelihatan seperti utuh tetapi jika dihalusi dengan mendalam kerana sekarang timbul banyak masalah tentang perpaduan ini. Dalam satu aspek saya melihat kepada perpaduan di kalangan Melayu itu sendiri. Selain itu di mana kita melihat perpaduan di kalangan bangsa Malaysia itu sendiri. Di kalangan perpaduan Melayu kelihatan semakin menjarak titik pertemuannya. Bagi saya dalam konteks perpaduan sebenar dan perpaduan Melayu perlu utuh kerana perpaduan Melayu itu adalah tonggak perpaduan. Jika roboh perpaduan di kalangan orang Melayu saya analogikan kita tidak mendapat apa-apa faedah dari perpecahan itu. Dalam satu sajak yang saya tulis pada 2008 bertajuk, Bersatulah Melayu, saya merenung dengan mendalam bagaimana terluka hati kenapa orang Melayu dan bukan Melayu tidak boleh bersatu dan terasa ada kelemahan yang timbul akibat dari tidak bersatu itu. Saya sering menekankan bahawa Melayu itu perlu menjadi payung dan jika ia carik orang lain pun susah hendak berlindung. Ia seperti lampu menyuluh, jika kabur lampu itu maka kaburlah jalan suluhannya. Bagaimana bangsa boleh menikmati, keharmonian dan kesejahteraan hidup. Itu analisis saya dalam sudut sastera. Dalam realitinya dua konteks perpaduan yang saya lihat amat menggugah adalah masalah perpaduan Melayu dan dalam satu bangsa Malaysia.
Perpaduan dalam masyarakat pelbagai kaum bukan tidak ada perpaduan. Tetapi masih ada ruang yang menjadikannya longgar. Ini sesuatu yang kita khuatiri sebab dalam konteks pelbagai kaum perpaduan itu mesti kukuh. Sebarang kepincangan akan menyebabkan masalah yang besar.
Bagaimana ruang menjadi longgar itu berlaku?
LIM SWEE TIN: Ruang ini berlaku kerana perkembangan ekonomi dan kemajuan yang berlaku. Ini semua adalah kerana kita hidup dalam dunia kosmopolitan yang serba serbinya ketara sifat individualistiknya. Selain itu sistem pendidikan kita tidak tajam kerana sistem pendidikan perlu ke hadapan. Saya pernah menjadi guru selama 28 tahun dan merasakan pendidikan di sekolah yang sebenarnya dapat membawa setiap anak bangsa ke satu jalur pemikiran yang sama. Saya maksudkan mengenai orientasi persekolahan menjurus kepada pencapaian dan bukan pengisian. Ia tidak melihat kepada komposisi pengisian sebenar. Pengisian mesti berkesan dan tajam barulah pencapaian menyusul dengan keputusan yang baik.
Ia mesti lebih segar dan global sifatnya. Pelajar sekarang hanya berada dalam satu kumpulan dan kemudian terbahagi kepada kelompok-kelompok kecil. Ini satu petanda yang tidak betul. Ini saya maksudkan dengan tidak tajam. Ia akhirnya menyebabkan pelbagai perkara tidak menjadi jelas. Saya bagi contoh mengenai Dasar Ekonomi Baru, orang bukan Melayu melihat ia sebagai alat untuk membantu Melayu. Tidak ada penjelasan kenapa ia diwujudkan dan bagaimana ia membantu semua kaum. Di sekolah tidak dijelaskan atau di diskusi secara jelas dengan pelajar. Jika persepsi berterusan ia akan menimbulkan masalah yang besar kerana mereka beranggapan buruk tentang DEB seolah-olah orang bukan Melayu tidak mendapat faedah tentangnya. Ini semua berlaku kerana pengisian melalui pendidikan tidak sampai. Setelah pelajar-pelajar ini dewasa dan kemudian terdedah kepada politik mereka sukar memahami tentang keistimewaan orang Melayu dari sudut Perlembagaan dan kontrak sosial. Ini berlaku kerana sesetengah orang yang terlibat dalam politik ini seolah-olah buta sejarah. Semua ini tidak akan berlaku jika mereka mendapat penghayatan apa yang tertulis dalam sejarah. Matapelajaran sastera juga perlu diajari secara lebih meluas lagi kerana ia akan menggalakkan penggunaan bahasa Melayu yang menjadi wadah untuk perpaduan.
Apakah komen Dr. mengenai ketegasan Perdana Menteri Datuk Seri Najib supaya kaum lain tidak mempersoalkan Perlembagaan?
LIM SWEE TIN: Bagi saya sewajarnya semua kaum yang menjadi warganegara Malaysia sudah memahami perkara yang termaktub dalam Perlembagaan. Ini adalah kewajipan bagi setiap warganegara tidak kira kaum apa sekalipun supaya memahami Perlembagaan. Apalah ertinya kita mengaku warganegara kalau tidak memahami perlembagaan negara sendiri. Saya setuju dengan Perdana Menteri bahawa jangan ada sesiapa pun yang mempersoalkan Perlembagaan. Ini kerana Perlembagaan itu digubal dengan kesepakatan. Bukan dibuat oleh orang Melayu saja. Kalau dulu sepakat kenapa sekarang kita nak bangkitkan itu dan ini? Kita kena mengikut Perlembagaan melainkan kita berhasrat untuk menukar Perlembagaan. Soal saya, adakah kita nak menukar Perlembagaan? Lagi pun dalam Perlembagaan tidak disebut meminggirkan kaum bukan Melayu dan kerajaan telah melaksanakan dengan adil sebagaimana dalam Perlembagaan.
Tetapi Dr. ada sesetengah pihak menganggap Perlembagaan lebih memihak kepada orang Melayu. Apa komen Dr?
LIM SWEE TIN: Saya tak setuju. Saya belum jumpa perkara dalam Perlembagaan yang meminggirkan kaum lain. Sebab itu saya kata kewajipan setiap warganegara adalah memahami Perlembagaan. Kalau kita faham tidak mudah untuk orang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan.
Apakah dalam keadaan sekarang orang bukan Melayu tidak memahami orang Melayu?
LIM SWEE TIN: Itu yang saya khuatirkan malah mungkin tidak tahu apa yang dimaksudkan dengan Melayu. Bagi saya minda Melayu itu harus menjadi landasan dan orang Melayu mesti bersatu, bangun. maju dan ke hadapan dengan cepat supaya ia menjadi landasan. Yang lain akan mewarna-warnikan keadaan. Janganlah peradaban selain Melayu yang menjadi tunggaknya. Kita perlu melahirkan masyarakat pelbagai kaum yang menganggap pahlawan bangsa Malaysia adalah Hang Tuah. Bukan pahlawan dari China atau India. Namun kerana tempias pemikiran yang tidak tajam tadi berlaku masalah politik yang berlandaskan perkauman. Ia kemudiannya menjadi modal politik yang ampuh dan mudah menarik sokongan. Parti politik ini perlu memainkan peranan mereka bukan hanya melihat pucuk kaum yang diwakilinya. Parti politik ini perlu mewakili dan memainkan peranan kepada semua kaum. Ini perlu jika mahu wujud perpaduan kebangsaan yang sebenar parti perlu memainkan peranan kepada semua. Mungkin ada melihat ia sebagai terlalu ideal namun saya percaya ia boleh dilakukan. Kita boleh lihat dalam parti UMNO, ia membantu semua kaum contohnya kepada kaum keturunan Thailand. Kita mesti cuba dan berani untuk memainkan peranan sebagai idealis jika ia benar-benar boleh membawa perubahan. Namun persoalannya bersediakah ahli politik bersedia mengambil risiko hasil dari perubahan ini. Perlu ada keikhlasan dalam soal ini. Namun jika ini dapat dilaksanakan maka kita akan dapat merungkai permasalahan dalam soal perpaduan ini dalam semua segi politik, ekonomi, sosial dan segalanya.
Apakah orang Melayu sedar mereka kini semakin terpinggir akibat daripada tidak bersatu?
LIM SWEE TIN: Mereka sudah lama sedar tentang realiti ini dan saya tidak nampak apa-apa usaha yang konkrit yang dilakukan untuk menyusun barisan Melayu yang kuat. Apa yang berlaku sekarang hanyalah gembar-gembur yang tidak kesampaian. Namun perpecahan politik ini tidaklah sampai kepada melemahkan politik. Parti-parti politik mempunyai idealisme masing-masing dan jika ia dimainkan dengan landasan yang betul ia mampu memberi ruang melalui sumbangan yang boleh diberikan. Ia akan menggerakkan perpaduan yang lebih baik namun realitinya sekarang ia tidak berlaku. Ini menyebabkan ada pihak yang berasa kurang selesa hingga menjadikan pergeseran.
Adakah orang Melayu tidak bersatu untuk mempertahankan hak mereka tidak seperti kaum lain?
LIM SWEE TIN: Bagi saya isu penyatuan akan tetap berlaku kerana ia boleh membantu menyelesaikan banyak masalah. Kita perlu melihat kepada pemikiran yang luas bukan sempit. Kita perlu melihat orang Melayu boleh bersatu dalam bagaimana memperkukuhkan kekuatan ekonomi mereka. Bagi saya sudah sampai masanya kita keluar dari kekeliruan mengenai perpaduan. Ini kerana setelah 53 tahun merdeka kita sepatutnya tidak perlu khuatir tentang masalah perpaduan seperti ini. Jika orang Melayu bergabung untuk menggerakkan satu kuasa ekonomi maka ia akhirnya akan membantu menaikkan semua kelompok di negara ini. Kita boleh lihat kaum Cina boleh bersatu bagi meningkatkan kekuatan ekonomi maka orang Melayu perlu menguasainya. Jika orang Melayu boleh melakukan (bergabung) ia akan memberi impak kepada semua dan saya yakin tentang perkara ini.
Orang Cina tidak perlu berasa ekonomi mereka terjejas kerana jika ini berlaku ia akan memberi peluang kepada bukan sahaja mereka tetapi semua orang untuk menikmati faedahnya. Begitu juga sebaliknya jika orang Cina yang melakukannya kerana ia adalah satu gerakan yang boleh memberi peluang dan kemajuan kepada semua orang dan kaum. Dari kita berselisih tentang isu yang tidak sepatutnya kerana perkauman maka adalah lebih baik kita berfikir bagaimana untuk memacu ekonomi tanpa bersikap prejudis kepada perkauman. Ini kita perlu lakukan kerana ia mencorak satu pemikiran Malaysia. Jika kita perhatikan negara-negara jiran semakin berkembang dari sudut ekonominya. Vietnam dan Thailand sedang berkembang begitu juga Indonesia. Idealisme seperti ini didukung kerana ia menyatakan kemurniaan dan hasrat yang tulus untuk melahirkan satu warganegara Malaysia. Bagi saya ramai antara kita yang cuba menggerakkan warga Malaysia termasuklah kaum bukan Melayu. Cumanya orang Melayu perlu memperkasakan ekonomi mereka supaya pergerakan dan persaingan itu akan berlaku lebih sihat. Mungkin sekarang ini jumlahnya masih sedikit dengan orang bukan Melayu namun ia tetap perlu dipertingkatkan supaya adil pembahagiannya.
Berapa lama lagi kita perlu menunggu erti perpaduan yang sebenar?
LIM SWEE TIN: Bagi saya perpaduan itu ada bukan sampai tidak ada. Ramai kaum Melayu dan bukan Melayu yang saya sendiri saksikan sangat kuat semangat nasionalisme mereka. Mereka semua mencintai dan menyayangi negara ini. sebagai contoh banyak perniagaan yang dikembangkan keluar negara dan mereka ini akan membawa pulang hasil dan keuntungannya balik ke negara ini. Ini antara contoh bagaimana semangat nasionalisme sudah semakin berkembang. Pekerja mereka ini terdiri dari pelbagai kaum tidak kira sama ada ia milik orang Melayu atau bukan Melayu. Kita sudah mencapai banyak kejayaan dalam hal ini namun masih terdapat ruang yang tiris. Masalah ini berlaku akibat penguasaan dari masalah bahasa Melayu. Mungkin saya boleh katakan kerajaan tidak bertegas dalam soal ini. Ia satu perkara yang tidak boleh dikompromi dan bertolak ansur. Ia sudah dilaksanakan sejak 1976 dalam Dasar Pelajaran Kebangsaan semua anak bangsa telah dididik dengan satu bahasa yang sama. Ini sepatutnya membantu mereka berfikir dalam satu pemikiran yang sama. Malangnya masih ramai yang tidak boleh berbahasa Melayu dengan baik. Kita sendiri tidak menjalankan tanggungjawab memelihara bahasa Melayu sebaiknya dan saya sangat sedih perkara seperti ini berlaku.
Orang Melayu dan Bumiputera adalah tonggak negara ini. Mereka majoriti. Malaysia adalah dari Malay. Adat resam dan budaya Melayu menjadi tonggak dan identiti negara ini, Do not stir the majority, why cant we understand that?
ReplyDeleteDS Najib wajar mencontohi Datuk Onn Jaafar, apabila beliau sebagai Presiden UMNO tidak lagi memperjuangkan matlamat perjuangan orang Melayu dan Bumiputera apabila membiarkan UMNO berselisihan dengan Perkasa.