Bersama Berjuang

Wednesday, July 31, 2013

Menyamakan Filem The New Village Sebagai Patriotik Adalah Sama Seperti Mengakui Lim Guan Eng Itu Khalifah!


Berikutan keputusan untuk menangguh filem The New Village, FINAS menyeru semua pihak agar jangan menyalahkan pertubuhan itu kerana meluluskannya.  Menurut FINAS, tugasnya bukanlah untuk meluluskan tayangan tetapi hanya menetapkan tarikh tayangan.

Kuasa untuk meluluskan tayangan berada di tangan Lembaga Penapisan Filem (FCB).  Ini bermakna FCB yang perlu menjawab masalah ini.  Namun, sehingga kini masih tiada apa-apa komen dari FCB.  Ada juga menteri yang menyatakan bahawa tidak adil untuk menghukum filem tersebut berdasarkan trelernya.

Lucu kerana kita tidak mendengar kenyataan yang sama terhadap filem Tanda Putera apabila masyarakat Cina, iaitu kemungkinan besar di kalangan para pensimpati komunis, ‘mengamuk’ apabila treler filem tersebut dipromosikan.  Akibatnya, filem tersebut ditahan penayangan dan hampir dibatalkan.

Ironinya, Tanda Putera ialah sebuah filem sejarah dan dibuat melalui pengkajian yang teliti.  Sekiranya ada yang tersinggung dengan kisah tersebut, maka kita tidak boleh berbuat apa-apa kerana begitulah caranya kita berlajar dan meneruskan hidup.  Kita tidak boleh memadam atau menukar sejarah semata-mata untuk tidak menyinggung mana-mana pihak berkenaan apa yang nenek moyang mereka telah lakukan.  Malah, semua rakyat Malaysia dari semua kaum wajib menghayati sejarah yang pahit ini.  Inilah satu-satunya cara untuk kita menerapkan semangat patriotik dan nasionalis dalam generasi muda.

Filem The New Village pula adalah berbeza dengan Tanda Putera.  Filem ini dibuat dari kacamata komunis, iaitu musuh.  Apakah patut mana-mana kerajaan atau menteri yang waras yang akan meluluskan filem yang mampu menggugat semangat patriotik yang telah sedia rapuh di kalangan rakyat negaranya?  Apatah lagi di ketika kita semua hampir tenggelam dalam masalah perkauman.

Kita sedia maklum bahawa terdapat usaha berterusan dari anak-anak atau cucu-cucu para komunis untuk menukar sejarah bagi memperlihatkan bapa atau datuk mereka sebagai wira.  Generasi baru ini berada dalam sindrom penafian bahawa bapa dan datuk mereka adalah pembunuh yang tidak berhati perut, musuh serta pembelot kepada negara dan sebaliknya ingin sekali percaya bahawa mereka itu adalah pejuang kemerdekaan.

Tidak kira betapa kuatnya mereka cuba menafikannya, fakta yang kekal ialah komunis ingin mengambilalih negara ini daripada penguasaan penjajah, dan juga dari penduduk asalnya.  Ini menjadikan komunis sebagai penjajah juga, bukan pejuang kemerdekaan.

Entah bagaimana generasi baru ini tidak tahu akan kisah sebenar atau mungkin juga sengaja enggan mempercayai laporan rasmi.  Minda mereka telah terlalu lama diracuni dengan kebencian terhadap kerajaan Melayu.  Mereka percaya bahawa sejarah telah direkodkan dengan penuh prejudis terhadap bangsa di mana komunis digambarkan sebagai jahat kerana mereka terdiri dari majoriti Cina.   Jelas darah rasis begitu pekat di kalangan mereka ini sehingga mereka melihat segala-galanya dari segi ‘kaum’.

Generasi baru Cina harus belajar melihat sejarah dengan minda yang terbuka.  Komunis bukan wira. Komunis menentang British bukan untuk memerdekakan Malaya tetapi untuk menjajahnya.  Sementara British memerintah dengan membawa ketamadunan, komunis pula membawa keganasan dan sama kejam sahaja dengan Jepun.

Tahukah mereka bahawa komunis berpeluang memerintah Malaya selama 14 hari apabila Jepun menyerah kalah.  14 hari itu bagaikan neraka di mana sesiapa yang telah melaluinya tidak mungkin akan melupakannya.

Dalam tempoh itu, komunis (PKM) melalui MPAJA menguasai bandar, balai-balai polis dan pejabat kerajaan.  MPAJA memperkenalkan cukai kepala, harta dan tanah.  MPAJA menghukum sesiapa sahaja yang pernah bekerja dengan Jepun. Mereka menangkap dan menyiksa orang Melayu yang disyaki bekerja dengan Jepun.  Mereka membunuh Cina yang enggan bekerjsama dengan mereka.  Mereka merompak dan merampas hartabenda rakyat sesuka hati.

Antara kejadian yang direkod:

-  Di Batu Pahat, penghulu dibunuh kerana disyaki bekerja dengan Jepun.
-  Pegawai Daerah dibunuh ketika cuba berbincang degnan PKM
-  PKM menanam seorang imam hidup-hidup kerana bimbang beliau mampu menggerakkan pemberontakan
-  Di Jelebu, masjid dan surau dicemar dengan sengaja
-  PKM membakar rumah-rumah penduduk Kg. Bakor dan Sg. Manik
-  Balai polis Bukit Kepong dibakar bersama dengan polis dan keluarga mereka termasuk anak kecil.

Dalam kata lain, kekejaman komunis menyebabkan British kelihatan seperti penyelamat apabila kembali dan membantu rakyat melawan komunis.

Bahagian sejarah yang ini iaitu 14 hari di neraka ini, menjadikan usaha pihak tertentu untuk menobatkan komunis sebagai wira wajib dikecam.  Usaha mereka ini adalah merepek dan tidak masuk akal sama sekali.

Sekiranya ada yang prihatin terhadap perasaan anak cucu komunis apabila filem Tanda Putera dipromosikan, maka bayangkanlah perasaan anak cucu mereka-mereka yang terkorban dan disiksa oleh komunis apabila filem The New Village mendapat kelulusan tayangan.

Ingatlah bahawa satu dari filem ini adalah berdasarkan fakta sejarah yang mana amat penting untuk pendidikan, manakala satu lagi adalah berdasarkan fakta yang dimanipulasi.  Satu mampu menyemarakkan semangat patriotik, dan satu lagi hanya akan menjadikan keadaan yang sedia tegang menjadi semakin buruk.

Tidakkah ini semua merupakan alasan yang cukup kukuh supaya mempercepatkan tayangan Tanda Putera, dan mengharamkan terus The New Village?  Apakah logik untuk membuka ruang perdebatan lagi?

No comments:

Post a Comment

Kepada yang "Anonymous", sila tinggal nama glamer dibawah komen anda. DAP beromen, Pas tanggung, berani komen, sendiri tanggung...hehehehe.. Terima kasih!!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...