KUALA LUMPUR, 1 Ogos — Pekerja Dawama Sdn Bhd, syarikat konsesi mencetak dan mengedar buku dan majalah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mahu Tan Sri Muhyiddin Yassin campur tangan menyelesaikan kemelut yang menyebabkan hampir 400 orang telah diarah mengambil cuti tanpa gaji bermula hari ini.
Presiden Kesatuan Pekerja-pekerja Dawama Sdn Bhd Zainal Awit berkata tindakan pengurusan syarikat itu amat keterlaluan kerana menyebabkan kesemua kakitangan kehilangan mata pencarian.
Justeru kata beliau, pihaknya mahu Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran memandang serius kemelut semasa dan selesaikan dengan segera.
“Cuti tanpa gaji ini berkuat kuasa hari ini dan tiada tarikh akhirnya, kami para pekerja rasa terkilan dan tertekan di atas tindakan pihak Dewama memberi cuti tanpa gaji kepada kami dan bayangkan bagaimana anak-anak kami akan menghadapi bulan Ramadan dan hari raya akan bakal menjelma.
“Justeru kami merayu kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya campur tangan dengan serius dalam permasalahan yang berlaku ini. Beliau perlu mengambil tindakan yang tegas bagi membantu kami pekerja-pekerja,” katanya pada sidang media selepas mengadakan protes bantahan di depan pejabat Dawama, Hulu Klang di sini.
Antara sepanduk yang dibawa berbunyi “DBP hendaklah mengambil alih kegagalan yang diswastakan”, “Ingat! Doa makbul”, “Konsesi rezeki, istimewa, amanah”, “Mana hak dan pampasan kami” dan “Cuti tanpa gaji aniaya kami.”
Khamis lalu 380 kakitangan Dawama telah menerima notis cuti tanpa gaji ekoran masalah kewangan dihadapinya.
Notis itu yang menggariskan pertikaian dengan DBP sebagai alasan, agensi terletak di bawah Kementerian Pelajaran, sebagai punca kepada tindakan tersebut.
Dawama dilaporkan berhadapan dengan masalah kewangan rumit.
Tegas Zainal, pihaknya juga mahu agar DBP menamatkan konsesi dengan Dawama dalam kadar segera.
Jelas beliau, tindakan itu akan membolehkan kesemua kakitangan kembali bekerjasa seperti biasa.
“Kalau kita lihat di dalam surat cuti tanpa gaji, alasan yang diberi bahawa Dawama sudah tidak mampu untuk membiayai operasi harian termasuk bayaran gaji kepada kakitangan dan kita terkejut dengan alasan yang tidak munasabah ini.
“Ini kerana sejak mendapat konsesi, Dawama memperoleh tender kerajaan yang pendapatannya dianggarkan puluhan juta ringgit, jadi kami berharap pihak berwajib menyiasat perkara ini dan kami juga mahu supaya konsesi ini ditamatkan dengan segera supaya DBP boleh mengambil alih operasi,” katanya.
Zainal juga menegaskan agar Dawama tidak menjadikan pertelingkahan dengan DBP sebagai alasan untuk menggantung tugas kakitangan.
Beliau juga kesal pengurusan Dawama tidak amanah apabila skim potongan gaji tidak disalurkan kepada agensi yang terlibat sejak penghujung tahun lalu.
“Masalah yang kami tanggung juga termasuk potongan gaji kami yang diamanahkan kepada Dewama untuk menjelaskan kepada agensi yang sepatutnya tidak dilakukan, walaupun potongan (gaji) dibuat tapi wang tidak sampai kepada agensi seperti KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), pinjaman peribadi bank dan sebagainya.
“Justeru kami berharap Timbalan Perdana Menteri membantu kami dalam pertikaian ini dengan menepati slogan 1 Malaysia kerana kami adalah rakyat Malaysia,” katanya.
Difahamkan kesatuan juga telah menghantar wakil untuk menyerahkan memorandum kepada Muhyiddin pagi ini.
Dawama diberi tanggungjawab mencetak dan memasarkan bahan bacaan terbitan DBP menerusi kontrak yang ditandatangani pada 1 September 2002 dan sejak itu berlaku kemerosotan yang agak ketara daripada segi cetakan dan jualan.
Tempoh kontrak dengan syarikat konsesi itu adalah selama 12 tahun dan akan tamat pada 2014.
GERAKAN TIMUR:
Harap TS Muhyiddin dapat selesaikan masalah ini dengan segera. Kita sedang dalam ibadah puasa, dan akan menyambut Lebaran pula. Mereka punya tanggungjawab bukan sahaja kepada diri sendiri, tetapi kepada keluarga; anak dan isteri.
Harapan dari rakyat, untuk rakyat.
No comments:
Post a Comment
Kepada yang "Anonymous", sila tinggal nama glamer dibawah komen anda. DAP beromen, Pas tanggung, berani komen, sendiri tanggung...hehehehe.. Terima kasih!!