Bersama Berjuang

Sunday, March 27, 2011

PAKATAN RAKYAT ITU ADALAH SATU KONSPIRASI


KUALA LUMPUR, 27 Mac — Tun Daim Zainuddin, yang pernah digambarkan sebagai menteri kewangan berpengaruh, mendakwa Pakatan Rakyat (PR) yang kini mentadbir empat negeri “hanyalah satu konspirasi politik.”

PR dibentuk menerusi kerjasama politik tiga parti iaitu PAS, PKR dan DAP tiga tahun lalu ketika pilihan raya umum ke-12.

Selain mentadbir kerajaan negeri gandingan itu juga menafikan kedudukan majoriti tradisi Barisan Nasional (BN) di Parlimen pada pilihan raya umum 8 Mac 2008.

Dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia siaran hari ini, bekas bendahari Umno ini berkata, beliau melihat PR tidak akan dapat mencapai kata sepakat dalam hal penting mengenai kebaikan negara kerana masing-masing parti taksub kepada pendirian dan prinsip sendiri.

“DAP itu parti chauvinis kecinaan, PAS pula perguna Islam, bukan sebagai ad-Din tapi sebagai topeng politik untuk mengabui mata orang-orang Melayu di kampung.  PKR hidup kerana Anwar dan untuk Anwar. Tanya kawan Anwar, mereka kata Anwar pakai macam-macam topeng sejak masih di universiti,” kata Daim

Anak kelahiran Kedah ini dilantik sebagai menteri kewangan pada 14 Julai 1984 oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dan melepaskan jawatan itu pada Mac 1991.

Kemudian pada Januari 1999, Daim dilantik semula ke jawatan itu beberapa bulan selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat.

Walaupun melepaskan jawatan itu pada 1991 beliau kekal individu berpengaruh dalam kerajaan dan Umno dengan dilantik sebagai penasihat kerajaan dan bendahari Umno.

Dr Mahathir melantik Anwar menjadi menteri kewangan selepas Daim melepaskan jawatan itu pada 1991.
Dalam temu bual itu, Daim juga mendakwa waktu Anwar menjadi pelampau Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris diketepikan sehingga ramai anak “kita yang lahir selepas tahun 1969 hilang kompetensi dalam Bahasa Inggeris.

“Dalam dunia globalisasi, Internet dan teknologi komunikasi sekarang, kekurangfasihan warga kita dalam Bahasa Inggeris adalah satu kemunduran,” kata bekas ahli Parlimen ini.

Daim seterusnya berkata kini Anwar, yang mengetuai Pakatan Rakyat, menjadi pejuang “multiculturalism” dan “liberalisme utopia” pula sehingga ada di kalangan mereka mempersoalkan kedudukan Raja-raja Melayu.

“Sikap dan tindakan politik begini yang menggadai segala harga diri, maruah, martabat dan prinsip untuk mendapat sokongan tertentu mengingatkan kita kepada watak utama drama Christopher Marlowe, Dr Faustus,” kata Daim lagi.

Sehubungan itu, Daim juga mendakwa, bukan saja PR tidak mempunyai asas politik yang kukuh, dalam parti pun PKR terus bergelumang masalah.

Seterusnya beliau bertanya bolehkah PKR menjadi teras kepada kumpulan ini dan bolehkah pakatan begini meyakinkan rakyat yang ia boleh menjamin masa depan bangsa dan negara lebih baik daripada Umno dan BN yang sudah membina negara seadanya selama lebih 50 tahun.

“Dalam setiap demokrasi berparlimen, perlu ada parti pembangkang. Jadi dari segi relevansi, ya, pembangkang itu relevan setiap masa.

“Bukan pembangkang yang bangkang-bangkangan semata, yang menolak semua usaha kerajaan walaupun usaha itu jelas memberi faedah kepada rakyat.

“Pembangkang yang relevan ialah yang menjadi ‘check and balance’ kepada kerajaan, yang tidak ‘chauvinistic’ dan tidak berpandangan sempit, yang boleh menyatukan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa,” katanya.

Daim berkata, jika diperhati kepada keadaan parti pembangkang sekarang, jelas mereka tidak hilang arah.

“Cuma, masing-masing ada arah sendiri. Mereka mengamalkan prinsip kahwin monyet. Mereka juga mencedok format BN tapi secara setengah jalan saja, bukan sepenuhnya.

“Ini bukan satu alternatif yang unggul bagi rakyat. Parti pembangkang di luar yang ingin mengambil alih kerajaan ada ‘shadow cabinet’. Mana ‘shadow cabinet’ Pakatan Rakyat?” katanya sambil menambah, “jika mereka benar-benar jujur ingin menjadi parti alternatif, mengapa tidak bubar semua parti dalam pakatan dan tubuh satu parti saja yang dianggotai rakyat semua kaum.”

Menjawab soalan bagaimana melihat Anwar sebagai pemimpin pembangkang serta dan liwat yang dihadapinya, Daim berkata, Dr Mahathir membawa Anwar masuk Umno di awal 1982.

Dr Mahathir menjadi perdana menteri yang keempat pada 1981 dan bersara Oktober 2003.

“Sejak itu saya kenal Anwar. Ini kerana Tun Dr. Mahathir menyokong Anwar di semua segi, Anwar naik dengan mendadak dalam kerajaan, dari Timbalan Menteri hingga Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri dalam jangka kira-kira 10 tahun saja.

“Dalam Umno pula dia naik dari Ketua Pemuda Umno hingga ke Timbalan Presiden pada jangka masa yang sama,” katanya.

Daim berkata semua itu termungkin kerana Dr. Mahathir melihat Anwar sebagai calon utama untuk ganti beliau apabila tiba waktunya.

“Jadi ketika itu seluruh jentera di belakang Presiden Umno juga bergerak serentak menyokong Anwar,” jelas beliau.

Beliau berkata tanpa Dr. Mahathir dan jentera Umno di belakangnya, Anwar tidak mungkin menjadi timbalan presiden parti dan apa yang berlaku sehingga beliau dipecat daripada Umno bukan satu konspirasi politik.

“Teori konspirasi politik itu sengaja dicipta Anwar kerana mahu dirinya dilihat sebagai ‘The Fall Guy’ iaitu insan yang dianiayai guna meraih simpati serta sokongan bagi menutup hakikat kecacatan peribadi sendiri,” katanya.

Daim juga memberitahu pada pengamatan ramai, Anwar tidak menunjukkan kebolehan luar biasa sebagai pentadbir dan tidak nampak sebarang ‘reformasi’ di mana-mana kementerian yang dipegangnya ketika menjadi menteri.

“Kehebatannya lebih kepada seorang, yang pintar berpidato bagi membakar semangat dan emosi khalayak walaupun isi ucapan cuma igauan politik saja.

“Berdasarkan ini, sekarang ini rakyat tak yakin Anwar boleh jadi pemimpin yang berkesan, meskipun setelah kesnya di mahkamah selesai,” kata beliau.

GERAKAN TIMUR:
GT telah menunggu lama kenyataan dari beliau.  Kredibilitinya sebagai strategist dan think-tank tidak pernah GT ragui. 

1 comment:

Kepada yang "Anonymous", sila tinggal nama glamer dibawah komen anda. DAP beromen, Pas tanggung, berani komen, sendiri tanggung...hehehehe.. Terima kasih!!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...