Bersama Berjuang

Monday, April 23, 2012

PERGGHHH... JATI Sertai BERSIH 3.0 ???



PANDANGAN JATI TERHADAP PERHIMPUNAN BERSIH 

Pada 28 haribulan ini, seperti yang dilaporkan akan berlaku satu perhimpunan yang dinamakan perhimpunan Bersih. Bersih pertama dan kedua telah pun berlalu, dan  kini muncul Bersih ketiga. JATI sebagai sebuah badan bukan kerajaan, sentiasa peka terhadap isu-isu ketelusan, kebebasan hak asasi, demokrasi dan lain-lain tuntutan yang biasa disuarakan oleh pelbagai pihak. Namun, JATI bukan sekadar peka pada niat yang baik, tetapi juga pada cara yang baik dan pertimbangan nilai-nilai yang baik untuk mengjustifikasikan sesuatu hasrat itu.

Pada JATI, ada isu-isu yang sebenarnya jauh lebih penting kerana isu-isu yang menjadi tumpuan JATI adalah perkara-perkara pokok sementara isu-isu yang dijadikan sandaran anjuran Bersih merupakan perkara-perkara yang telahpun nampak usaha pembaikan dibuat oleh pihak kerajaan dan agensi-agensi berkaitan.

JATI mengalu-alukan sebarang usaha untuk menentukan sistem pilihanraya pada sebarang ketika dibuat secara adil dan saksama. Persoalannya, sudahkah usaha untuk memperbaiki sistem ini berlaku? Pada JATI, pihak-pihak berkaitan telahpun menunjukkan kesungguhan untuk mempertimbang dan seterusnya menginstitusikan pelbagai cadangan yang telah dimajukan.

JATI berpendirian bahawa selain dari usaha Bersih, banyak pihak-pihak lain yang telah memajukan pelbagai cadangan ke arah pembaikan sistem pilihanraya walaupun bukan secara kaedah nak mencari publisiti. Penubuhan Jawatankuasa Pemilihan Parlimen (PSC) menggambarkan darjah keseriusan mereka yang berwajib untuk sama-sama menentukan supaya sistem pengendalian pilihanraya umum berada di tahap yang terbaik dan memuaskan semua pihak. Namun, adat sesuatu yang datang daripada manusia, maka ruang pembaikan sentiasa wujud dengan munculnya pelbagai pertukaran pada sesuatu realiti. 

Siasatan yang dibuat oleh PSC yang dianggotai bersama oleh wakil-wakil pembangkang telah menjelajah ke seluruh negara bagi mendengar sendiri pendapat dan pandangan pelbagai pihak selain dari mengkaji memorandum-memorandum yang diterima.

Dengan keahlian yang terdiri daripada mereka yang berwibawa dan disegani oleh masyarakat, termasuk wakil-wakil pembangkang, maka agak keterlaluan bagi mana-mana pihak untuk mempersoalkan kemampuan, kebolehan dan kredibiliti mereka yang diamanahkan.

Laporan telah dibentangkan di Parlimen dan telahpun diluluskan. Justeru, segala cadangan dan perakuan telah melalui semua proses perundangan. Setiap proses juga mempunyai mekanisme tapisan tersendiri. 

JATI kurang selesa dengan cadangan mengerahkan rakyat untuk berhimpun pada 28hb April untuk mengadakan Bersih ketiga. Bagi JATI, perhimpunan tersebut tidak lebih dari memancing perhatian rakyat untuk menyokong penganjur yang sebahagian besarnya terdiri daripada anggota-anggota pembangkang, khusus dengan suatu kaedah yang berkaitan dengan permainan emosi rakyat. JATI bimbang rakyat akan diperalatkan untuk membolehkan pihak-pihak tertentu mendapatkan keuntungan politik. JATI juga berpendapat setakat yang telah dirumuskan, PRU ke 13 akan dapat dilangsungkan dalam suasana yang lebih tenteram,sekaligus menggambarkan kedewasaan rakyat Malaysia mengamalkan sistem demokrasi yang bersandarkan nilai-nilai sejagat yang menjaga kesucian tamadun kita. 

JATI yakin apa juga masalah yang dikatakan masih belum selesai boleh dibawa ke meja perundingan. Tidak ada perkara yang tidak dapat diselesaikan seandainya setiap daripada mereka yang terlibat bersandarkan pada semangat mencari kebenaran, tidak membelai ego serta terbuka untuk diperbetulkan apabila mereka sendiri menunjukkan kelemahan pertimbangan.

Dengan ini, JATI ingin menyeru kepada rakyat Malaysia yang mana setelah lebih 50 tahun kita mempraktikkan demokrasi, sekurang kurangnya akan berjaya untuk berfikir buruk baik sesuatu perkara dan menilai matlamat jangka panjang. Tidak ada satu sistem pun yang sempurna melainkan Islam. Bahkan kita diutus oleh Allah untuk menjadi khalifah di permukaan bumi ini adalah di antara lain untuk menyempurnakan kehidupan itu sendiri.

Dalam konteks ini, amalan demokrasi adalah salah satu juzuk daripada lingkungan kehidupan insan, dengan insan-insan yang terlibat juga berpegang pada nilai-nilai sejagat tanpa terbelenggu dengan emosi luar kawalan serta pengagungan nilai-nilai yang berlawanan dengan sifat fitrah manusia yang mencintai kedamaian serta kestabilan.

JATI memesanan kepada golongan muda khususnya, siswa siswi masyarakat kampus supaya tidak mudah menjadi alat kepada pihak-pihak yang cuba mengeksploitasi mereka untuk menyertai Bersih ketiga. Daripada pemerhatian kami, didapati bahawa tindakan segelintir mahasiswa yang terpengaruh dengan pujukan dan rayuan penganjur Bersih Ketiga tidak berjaya mempengaruhi majoriti masyarakat kampus untuk menyertai demonstrasi bersabit dengan PTPTN di Dataran Merdeka. Jelas kepada kita bahawa anak-anak muda di kampus lebih mampu berfikir panjang serta menyedari kesan demontrasi sedimikian pada penghidupan rakyat di negara ini. Kita yang lebih dewasa seharusnya lebih mampu berfikir dan mampu mengunjurkan kesan tindakan kita itu berbanding dengan kebolehan berfikiran anak-anak muda yang  bakal menjadi pemimpin di masa depan.

YB DATO DR HASAN MOHAMED ALI
Presiden JATI
TTDI, KL
21 April 2012

1 comment:

  1. bersih inginkan tahrir spuare di mesir utk menjatuhkan kerajaan melalui demontrasi

    ReplyDelete

Kepada yang "Anonymous", sila tinggal nama glamer dibawah komen anda. DAP beromen, Pas tanggung, berani komen, sendiri tanggung...hehehehe.. Terima kasih!!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...