Bersama Berjuang

Wednesday, May 30, 2012

Woww..Gambar Superimpose Blogger UMNO Di Konvensyen Belia Selangor Didedahkan!!!





GT percaya, gambar di atas adalah superimpose yang dibuat oleh Cybertrooper UMNO berkenaan dengan Konvensyen Belia Selangor 2012 anjuran kerajaan negeri.  


Tak mungkin hanya sekadar 100 orang sahaja.  Pastinya, ini adalah satu lagi pembohongan oleh Cybertrooper UMNO untuk memberikan maklumat palsu kepada rakyat.  

GT tak percaya... sungguh tak percaya... 

Tentunya pada gambar sebenar, Anwar turut hadir...  

Sampai hati Cybertrooper UMNO buat kerja jahat camni.... kesian Adam Adli dan Rafizi Ramli.... 


Ambiga Setaraf Pencuri Besi Penutup Loji Najis??? Muahahahaha...



Lucu sekali melihat bagaimana Ambiga Sreevanesan menggelupur kerimasan apabila terpaksa berhadapan dengan siri-siri perhimpunan aman di hadapan rumahnya.   Beliau dan kuncu-kuncunya pastinya tidak pernah menjangkakan tindak-balas sebegitu rupa oleh rakyat.  

Secara dasarnya, Ambiga enggan mengakui bahawa yang berhimpun di depan rumahnya itu adalah rakyat biasa serta cuba menuduh kerajaan atau UMNO sebagai dalang.  Ini tidak benar.  Namun begitu, siapa jua mereka bukan soalnya.  

Soalnya ialah, kalau pun benar mereka adalah ahli UMNO, mereka juga adalah rakyat yang punya hak untuk menyatakan ketidakpuasan hati terhadap manusia yang telah menyebabkan perniagaan mereka rugi pada 28hb April yang lalu.  

Kini terbuktilah sudah bahawa perjuangan Ambiga dan BERSIH keseluruhannya adalah hipokrit semata-mata di mana hak untuk menuntut hak, hanya ada pada Ambiga dan Pakatan Rakyat.  Mana-mana rakyat yang tidak menyokong mereka tidak ada hak untuk berbuat yang sama.  

Lebih menarik lagi apabila beberapa rakan dan pensimpati Ambiga cuba membantu dengan memberi berbagai-bagai hujah untuk menidakkan hak rakyat untuk berhimpun di hadapan rumah Ambiga.  

Antaranya, A.Samad Said yang merayu rakyat agar jangan mengganggu Ambiga.   Rakan-rakan dan penyokong Ambiga di alam maya juga berusaha untuk memperlekeh dan meremehkan tindakan berhimpun dan berniaga di depan rumah Ambiga, konon untuk merendahkan moral mereka dan mengharapkan mereka bersurai.    

Begitu juga dengan akhbar berbahasa Cina, China Press, yang menyatakan bahawa tindakan peniaga tersebut membalas dendam sedemikian adalah kebudak-budakan dan bodoh.   

Ya, mungkin juga tindakan membalas dendam sebegitu adalah nakal dan kebudak-budakan manakala tindakan BERSIH 3.0 melanggar undang-undang  dan mengganas pula tidak nakal dan tidak kebudak-budakan.  Tetapi ia adalah tindakan manusia dewasa yang jahat, penuh dengan khianat dan sememangnya tersangat bodoh! 

Kerana BERSIH nama negara tercemar, imej negara tercalar, peniaga-peniaga mengalami kerugian serta pihak kerajaan juga menanggung kerosakan harta awam.  Semuanya kerana Ambiga.  

China Press cuba berhujah bahawa Ambiga tidak harus dipertanggungjawabkan untuk membayar balik kerugian yang dialami peniaga.  Alasan mereka, kemusnahan yang berlaku dalam BERSIH 3.0 adalah disebabkan oleh kelalaian dan ketidakcekapan kerajaan, maka gantirugi peniaga-peniaga itu sewajarnya dibayar oleh kerajaan, bukan Ambiga.    Hujah mereka lagi, tempat untuk peniaga itu berniaga dan mendapat keuntungan adalah disediakan oleh kerajaan dengan menggunakan cukai yang diperolehi dari rakyat.  Entah kenapa kita dapat mengesan sikap perkauman di dalam kenyataan ini.   Apakah China Press secara halus ingin memberitahu bahawa  majoriti peniaga yang terlibat adalah Melayu dan pembayar cukai tertinggi adalah peniaga Cina?

Lebih lucu lagi apabila China Press menyatakan bahawa peniaga-peniaga tersebut seharusnya  boleh membuat untung dan bukannya rugi ketika perhimpunan BERSIH 3.0 sekiranya mereka bijak mengambil peluang.   

Justeru, kenapa agaknya BERSIH 3.0 memilih untuk berarak di kawasan peniaga Melayu dan India dan mengelak untuk ke kawasan perniagaan kaum Cina?   Bukankah kerana kaum Cina awal-awal lagi tahu yang perhimpunan sebegitu pasti membawa kerosakan, bukan keuntungan dan  mengambil langkah awal memastikan kawasan kaum mereka berniaga terselamat dari sebarang risiko? 

Contoh yang diberikan pula ialah jika seseorang itu terjatuh ke dalam longkang di bandaraya kerana penutup besinya telah dicuri, maka yang perlu membayar kos perubatan mangsa yang cedera tersebut adalah kerajaan, bukan pencuri tersebut.  

Mungkin China Press terlepas pandang bahawa cukai yang dibayar oleh rakyat digunakan untuk pembangunan negara, bukannya untuk membayar gantirugi ke atas tindakan pihak yang dengan sengaja melanggar undang-undang dan membuat kemusnahan.  Cukai juga digunakan untuk melahirkan rakyat yang berguna kepada negara bukan pencuri, pengganas, pengkhianat atau pemberontak seperti Ambiga.  

Kerana itu, untuk pengetahuan China Press, sekiranya pencuri penutup longkang tadi berjaya ditangkap, pastinya dia juga akan diarahkan membayar gantirugi kepada mangsa oleh mahkamah.  

Lagipun, apakah China Press cuba menyamakan Ambiga dengan pencuri besi buruk?  

Dalam kes BERSIH 3.0, kita tahu siapa penjenayahnya dan lebih dahsyat lagi, penjenayah itu adalah dari pihak pengamal undang-undang, iaitu bekas Presiden Majlis Peguam.  Dia telah diberi peluang untuk berhimpun di stadium di mana keselamatan dan keamanan terjamin.  Dia juga telah diberi amaran awal akan tempat-tempat yang dilarang.   

Tetapi, Ambiga memilih untuk menolak kawasan selamat, dan mengambil risiko berarak di jalanan.  Akibatnya, peserta BERSIH telah melanggar undang-undang  dengan menceroboh ke kawasan larangan.  Kerana kedegilan Ambiga, keganasan yang boleh dielakkan telah tercetus, harta awam musnah dan ramai yang cedera.    

Tidak boleh tidak, Ambiga wajib bertanggungjawab dan memikul kesalahan penyokong-penyokongnya, sebagai seorang ketua yang berprinsip, prihatin dan berintegriti.  Adalah memalukan bagi seorang yang telah menerima beberapa anugerah kemanusiaan dari barat untuk bersikap lepas tangan, malah enggan terlibat langsung dalam menangani kesan sampingan perbuatannya!   

Tahukah Ambiga bahawa seorang Ketua yang baik, akan mempertahankan orang bawahannya dan akan memikul kesalahan mereka sebagai kesalahan sendiri apabila berhadapan dengan masalah?  Jika ini pun Ambiga tidak tahu, maka sesuai sangatlah China Press menyamatarafkan beliau dengan pencuri besi penutup longkang! 

Kempen Jom Bertayammum Sesuai Dianjurkan Di Kelantan!!!



Kejayaan pasukan bolasepak Kelantan The Red Warriors (TRW) menjuarai Piala FA masih lagi menjadi bualan hangat dikalangan ramai rakyat Kelantan sekalipun di peringkat nasional topik tersebut sudah kurang menarik perhatian.

Kehangatan topik tersebut dikalangan rakyat Kelantan khususnya peminat sukan bolasepak tidak sukar diduga setelah mengambil kira inilah julung kalinya Piala FA berada dalam genggaman Kelantan.

Sebagai menghargai kejayaan tersebut, KAFA telahpun bersetuju untuk memberi imbuhan & ganjaran berjumlah RM500,000.00 yang akan dibahagi-bahagikan sesama pemain dan pegawai pasukan TRW.

Manakala kerajaan negeri Kelantan pula melalui EXCO Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Datuk Abdul Fattah Mahmood juga telah menyuarakan hasrat untuk mempertimbangkan pemberian ganjaran kepada para pemain TRW.

Baguslah begitu, menghargai penat lelah dan usaha keras pemain yang mengharumkan nama negeri tentu sahaja berbaloi malah mungkin menjadi rangsangan kuat kepada para pemain untuk terus maju ke depan.

Pun demikian, sukalah penulis menyarankan kepada kerajaan negeri Kelantan sementara menanti keputusan muktamad diputuskan dalam hal ganjaran tersebut, barangkali elok juga dipertimbangkan sama satu peruntukkan khusus untuk menyelesaikan masalah air di Kelantan.

Bukan apa, balik-balik asyik mengharapkan Kerajaan Pusat saja yang bantu meringankan permasalahan air di Kelantan sedangkan kerajaan negeri pula acapkali berlepas tangan menuding jari, nanti orang kata lebih baik serahkan terus pengurusan air Kelantan kepada Kerajaan Pusat.

Lagipun kalau Kerajaan Pusat saban tahun boleh ambil cakna dan tidak lokek berbelanja puluhan juta ringgit tiap tahun untuk membantu rakyat negeri Kelantan dalam isu air bersih, mustahil pula menjadi kesukaran untuk kerajaan negeri turut sama menyertai usaha tersebut.


Misalnya dalam tempoh berbelas tahun Kerajaan Pusat telah membelanjakan hampir setengah billion hanya dalam isu air sahaja (tidak termasuk pinjaman RM600 juta kepada kerajaan negeri Kelantan).

Terbaru bagi tahun 2011, sejumlah 7,868 buah keluarga di beri bantuan dan masalah bekalan air bersih yang dialami mereka berjaya diselesaikan melibatkan perbelanjaan RM 16.5 juta. 

Untuk sepanjang tahun 2012 ini pula dijangkakan sejumlah 4,639 buah keluarga yang menghadapai masalah sama dapat menjalani kehidupan normal seperti orang lain yang menikmati bekalan air bersih dengan anggaran perbelanjaan sekitar RM 10.4 juta.

Semua yang dilakukan oleh Kerajaan Pusat itu kerana melihat bekalan air bersih adalah amat penting demi kebaikan & kehidupan rakyat Kelantan. Jadi mengapa tidak kerajaan negeri juga menggandakan usaha untuk menyelesaikan segera permasalahan tersebut?

Kalau dalam hal sukan kerajaan negeri boleh sebegitu laju terfikir untuk mengeluarkan peruntukkan khas menghargai pemain, takkanlah sukar pula untuk mengeluarkan perbelanjaan dalam jumlah tertentu khusus untuk membantu rakyat Kelantan yang hampir 30% belum menikmati air bersih.

Di antara bekalan air bersih yang menjadi sumber kehidupan dan ganjaran untuk pemain bolasepak, rasanya ramai yang waras fikirannya tahu mana satu yang lebih penting dan wajar didahulukan.

Tapi kalau kerajaan Kelantan yang sudah 22 tahun memerintah masih juga melihat masalah air itu boleh diremehkan dan ditangguhkan untuk 17 tahun lagi demi mendahulukan bolasepak, maka terpulanglah pada pengundi di Kelantan untuk menilai setakat mana prihatinnya kerajaan negeri yang selama ini gah mendabik dada mempromosikan slogan negeri berkebajikan.

Mungkin bagi penganut PAS di Kelantan, bertayamum sudah memadai..

Tuesday, May 29, 2012

Projek Lebuhraya Ke Syurga Bermula Di Kelantan Kerana PRU Semakin Hampir!!!



Baru saja disergah oleh Majlis Fatwa Masjidil Haram berkenaan fatwa sesat yang menjanjikan syurga kepada pengundi, hari ini Nik Aziz sekali lagi menjanjikan pahala pula kepada manusia yang menderma untuk pembinaan Lebuh Raya Rakyat Kota Bharu-Kuala Krai bernilai RM1.8 billion sepanjang 73km.  

Menurut laporan Berita Harian, Nik Aziz juga mengakui turut menyumbang RM5,000 bagi pihak arwah ibu dan ayahnya sebagai  bayaran pahala kepada mereka.    Nik Aziz berkata demikian selepas majlis pecah tanah pakej Satu lebuh raya itu antara Machang-Kuala Krai yang membabitkan laluan sepanjang 43 km. 

Nik Aziz dengan itu menyeru rakyat untuk menderma bagi memastikan lebuh raya ini siap sepenuhnya.   Derma itu pasti akan digantikan dengan ganjaran pahala, katanya.   

Menarik sekali!  Cuma kita ada sedikit kemusykilan:

Adakah jumlah sumbangan menentukan jumlah ganjaran pahala?  Atau adakah semua yang menderma akan menerima jumlah pahala yang sama tanpa mengira jumlahnya?  Dan bolehkah kita menebus dosa dengan menderma kepada pembinaan lebuh raya ini atau menggunakan sistem kontra iaitu, satu jenis dosa untuk beberapa ringgit derma?   

Bagaimana pula jika ada yang menderma dengan wang haram?  Apakah mereka juga mendapat pahala?   Jika orang bukan Islam yang menderma, apakah mereka akan dikecualikan dari api neraka atau sekadar diringankan siksaan?  

Bagaimana pula dengan orang yang telah mengundi PAS yang telah dijamin syurganya oleh Nik Aziz?  Apakah dengan menderma lagi kepada lebuh raya ini maka mereka akan berpeluang untuk mendapat syurga yang lebih tinggi?  

Kita perlukan sedikit butiran lanjut mengenai perkara ini kerana ramai lagi umat Islam yang tidak mengundi PAS dan mereka ini semua pasti ingin tahu lebih lanjut kalau-kalau derma ini akan membantu memberatkan timbangan pahala ketika dihisab nanti.   

Lebuh Raya Rakyat ini juga dikatakan bakal menyediakan laluan khas untuk binatang seperti gajah dan harimau yang dikatakan melalui kawasan itu.  Tidak pula dikhabarkan sama ada laluan khas untuk makhluk-makhluk lain seperti jin atau bunian juga disediakan dan diasingkan jantina, bagi menepati sifat sebuah lebuh raya ke syurga.   

Apa yang kurang menarik ialah, walaupun lebuh raya ini bersifat ‘saham akhirat’, ini tidak bermakna yang lebuh raya ini akan beroperasi tanpa tol.  Sebelum ini Husam Musa telah membuat kenyataan bahawa “Mungkin akan ada tol nanti tapi kadarnya lebih murah dan berbeza mengikut musim.”  

Nampaknya, walaupun Pakatan Rakyat menjanjikan lebuhraya tanpa tol di Malaysia tetapi Kelantan sebagai Serambi Mekah, sekali lagi mengatasi negeri-negeri lain dalam soal ini di mana tol dihalalkan di sana.  

Maka terfikir juga kita, mungkinkah bayaran tol bagi lebuhraya ini juga akan mendapat ganjaran pahala?   Jika ya, bolehkah Nik Aziz memanjangkan pemberian pahala itu untuk pembayar tol di lebuh raya negeri-negeri lain?   

Kita boleh ketawa geli hati dan menggeleng-gelengkan kepala dengan kesesatan yang dibawa Nik Aziz, tetapi berapa ramai pula yang akan tersesat dengan mempercayai bahawa Nik Aziz benar-benar mampu menjanjikan pahala kepada manusia, terutamanya manusia yang menderma dengan niat inginkan pahala dan bukan kerana ingin membantu mereka yang memerlukan.     

Sepatutnya, sebelum menyeru rakyat menderma untuk membina lebuhraya lebih baik Nik Aziz memungut derma untuk membina masjid yang sudah dijanjikan pahalanya oleh Allah S.W.T.    Bukan rakyat tidak tahu bahawa kerajaan PAS Kelantan hanya mampu membina satu masjid sahaja sepanjang dua dekad pemerintahan.  Masjid-masjid lain semuanya dibina oleh kerajaan pusat.  

Hakikatnya, meminta derma dari rakyat merupakan satu kenyataan rasmi bahawa PAS telah GAGAL TOTAL.   

PAS gagal menjana kewangan negeri dan akibatnya gagal menyediakan kemudahan asas kepada rakyat, gagal membuka peluang pekerjaan, gagal menaikkan taraf hidup rakyat dan kini PAS tidak malu ingin menagih derma dari rakyat pula.   

Rata-rata rakyat Kelantan hidup dalam kemiskinan dan Islam telah mengingatkan bahawa kemiskinan menghampirkan kita kepada kekufuran.   Justeru, bagaimana hendak ke syurga jika miskin dan tak mampu menderma untuk pembinaan lebuhraya?  Bagaimana hendak ke syurga jika kufur?   Apakah hanya dengan mengundi PAS?   

Inikah yang Nik Aziz cuba sampaikan sebenarnya iaitu kempen ‘Undilah PAS’ sempena pilihanraya yang semakin hampir?   

Apapun, apa yang kita nampak ialah Nik Aziz sebenarnya cuba memungut derma untuk menampung dana pilihanraya, bukannya untuk projek lebuh raya.

Scorpene: Setelah Bertahun, Bukti Masih Gagal Dikemukakan Oleh SUARAM!



Isu scorpene ditimbulkan oleh pembangkang ‘di saat-saat akhir’ sebelum pengunduran Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai senjata terakhir untuk memastikan Dato’ Seri Najib tidak akan ditabalkan sebagai pengganti beliau.  Setelah gagal mengubah takdir di mana Dato’ Seri Najib telah dilantik sebagai Perdana Menteri, isu ini diteruskan oleh pembangkang dengan harapan dapat memendekkan tempoh pemerintahan beliau.  

Seperti yang diketahui, pembangkang menggunakan berbagai-bagai jenis penyamaran untuk menyerang BN, antaranya Majlis Peguam, Suhakam, Himpunan Hijau, Suaram dan macam-macam lagi yang semuanya bersikap memusuhi kerajaan. 

Dalam kes scorpene ini, pembangkang telah menggunakan Suaram untuk melancarkan serangan awal bagi pihak mereka.  Sebagai permulaan, Suaram telah memfailkan aduan terhadap DCNS, syarikat yang membina dan menjual kapal selam kepada negara ketiga termasuk Malaysia di mahkamah Perancis kerana ‘mengesyaki’ kegiatan rasuah dalam urusan pembelian kapal selam tersebut.  Isu ini dikatakan berkait rapat dengan pembunuhan Altantuya Sharibuu, seorang model Mongolia yang kemudiannya cuba digambarkan sebagai mempunyai hubungan sulit dengan Perdana Menteri.  

Penyelaras Suaram, Cynthia Gabriel dilaporkan berkata, “kes ini spesifik kepada pemberian komisen 114 juta Euro yang diberikan kepada syarikat Perimekar.”

Seperti yang disebut tadi, kita cukup maklum bahawa Suaram sebenarnya bertindak bagi pihak pembangkang yang ingin menjatuhkan Dato’ Seri Najib dengan apa jua cara.  

Tetapi, apa yang dilakukan oleh mereka kali ini adalah tersangat keterlaluan iaitu memfitnah Perdana Menteri terlibat dalam pembunuhan dan membawa perbincangan berkenaan kos pertahanan negara kepada dunia.  

Kos pertahanan negara adalah sesuatu yang sulit di mana segala butirannya tidak boleh dibentangkan secara terperinci.  Setiap kerajaan di dunia perlu menyembunyikan beberapa fakta sebagai strategi keselamatan dan pertahanan negara masing-masing.  Jika soal pertahanan dibentangkan secara terbuka, ia mampu mendedahkan negara kepada bahaya.  

Apa yang tidak pernah disembunyikan oleh kerajaan ialah, kontrak perolehan kapal selam scorpene secara keseluruhannya adalah bernilai EURO 1.084 billion.  

Dari jumlah itu, EURO 969.15 juta dibayar kepada DCNS (Perancis) dan NAVANTIA (Sepanyol) sebagai kos perolehan dua kapal selam Scorpene, pakej Integrated Logistics Suppport (ILS) dan latihan untuk warga kapal selam.

Bakinya, iaitu EURO 114.96 juta dibayar secara berperingkat dalam tempoh enam tahun kepada Perimekar Sdn Bhd sebagai kos perkhidmatan koordinasi dan sokongan kepada Pasukan projek Kapal Selam TLDM di Cherbourg, Perancis dan Cartagena, Sepanyol serta pelatih-pelatih kapal selam di Brest, Perancis.

Semua ini tertulis secara terperinci dalam kontrak yang ditandatangani pada 5 Jun 2002.  

Merujuk kembali kepada aduan yang dibuat oleh Suaram seperti yang dipetik di atas, iaitu “kes ini spesifik kepada pemberian komisyen EURO 114 juta yang diberikan kepada syarikat Perimekar”; justeru, berdasarkan fakta ini, persoalan yang timbul ialah, jika EURO 114 juta itu adalah komisyen, maka apakah ini bermakna Perimekar telah memberi perkhidmatan koordinasi dan sokongan secara percuma?  Ini kerana, dokumentasi transaksi jelas menunjukkan bayaran yang terlibat kepada Perimekar hanyalah EURO 114.96 juta sahaja dan tiada lebihan.  


Secara dasarnya, Perimekar bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan berikut:  
  • menyediakan kediaman lengkap bagi 27 keluarga pegawai di Perancis dan Sepanyol untuk tempoh 6 tahun. 
  • Menyediakan pejabat urusan dan kediaman lengkap bagi krew kapaal TLDM seramai 156 orang dan 30 staf penyelenggara pengkalan di Perancis dan Sepanyol untuk tempoh 6 tahun. 
  • Membayar elaun harian dan elaun krew kapal selam sebanyak EURO50 sehari setiap seorang untuk tiga tahun pertama dan EURO60 sehari seorang untuk tiga tahun kedua. 
  • Membiayai kos penerbangan pergi-balik setiap krew kapal selam untuk balik bercuti ke Malaysia setiap empat bulan sekali. 
  • Syarikat ini juga bertanggungjawab memastikan penyertaan syarikat Malaysia dalam pembinaan dan membantu syarikat yang berpotensi untuk menyertai program offset.  
  • Membantu kontraktor utama berhubung prosedur kerajaan dalam perlaksaan kontrak.  
  • Menyelaras latihan antara krew, kontraktor dan kerajaan. 
  • Menyediakan laporan koordinasi dan lain-lain lagi.  

Maka, sekali lagi kita ingin bertanya, jika benar EURO 114 juta tersebut adalah komisyen semata-mata, bagaimana Perimekar menanggung semua kos perkhidmatan di atas?  

Hakikatnya, bayaran EURO 114 juta itu bukanlah komisyen tetapi bayaran untuk perkhidmatan yang disediakan oleh Perimekar. Ia adalah bayaran yang telus, nyata dan wajar dan tiada apa yang pelik dalam urusniaga ini.  

Yang pelik hanyalah tuduhan Suaram dan pembangkang yang tidak berasas sama sekali.  

Kesungguhan pihak ini untuk menjatuhkan Dato’ Seri Najib sehingga sanggup mengupah penulis yang punya sejarah sakit mental, iaitu Raja Petra Kamaruddin (RPK) untuk mereka-reka cerita mengenai penglibatan Perdana Menteri dalam pembunuhan Altantuya yang konon berkait rapat dengan pembelian kapal selam untuk negara, mula menimbulkan persoalan.  Dari cakap-cakap kedai kopi kini terbau syak wasangka mengenai apakah pembangkang ada kena-mengena dengan pembunuhan tersebut?  

Dengan RPK sudah pun mengakui yang dia hanya mereka-reka cerita sepatutnya sudah cukup untuk membuktikan bahawa bahagian lain dalam ceritanya, seperti isu scorpene ini juga adalah rekaan juga.  

Oleh itu, kita mengalu-alukan siasatan pihak Perancis atau mana-mana pihak juga untuk terus membongkar isu scorpene ini.  Tidak mustahil kita akan menemui sesuatu yang lebih lagi dari sekadar cerita rekaan pembangkang… 

Mujur Suaram bukan berada di Republik Rakyat China mahupun Russia, kerana pastinya mereka telah dihukum mati kerana campurtangan dalam urusan keselamatan negara!

2 Juta Belia Buat Anwar Jadi Hijau Kahak!!! Amek Kawww...!!!



PUTRAJAYA, 27 Mei 2012 – Golongan belia memberikan reaksi positif bagi menyatakan sokongan penuh mereka terhadap kepimpinan Perdana Mentari, Datuk Seri Najib Tun Razak atas semua usaha yang telah beliau lakukan kepada golongan itu. 

Reaksi tersebut sempat dirakamkan oleh jurukamera KL POS selepas Perdana Menteri selesai menyampaikan ucapannya semasa Majlis Pelancaran Hari Belia Negara 2012.

Wakil Belia Sabah, Zyee mengatakan penganjuran Himpunan Jutaan Belia tahun ini merupakan salah satu tindakan bijak kerajaan bagi meraikan para belia dari seluruh negeri sekaligus memberi peluang kepada mereka untuk berkumpul dan melakukan aktiviti yang berfaedah. 

Sementara itu, Ahmad Syawal wakil belia 4 Malays berkata kepimpinan beliau tidak dapat diragui lagi kerana beliau sentiasa berusaha dalam menjadikan Malaysia kearah negara maju.

“Beliau (Najib) berjaya mengumpulkan golongan belia seramai dua juta orang dan itu membuktikan beliau begitu bersungguh-sungguh untuk memajukan belia. 

Saya berharap program seperti ini dapat dianjurkan setiap tahun kerana ia dapat memberi peluang kepada belia melakukan aktiviti yang berfaedah,” katanya.

Norsyafina Md. Nor yang datang bersama rakan-rakan lain daripada Sabah mengucapkan jutaan terima kasih kepada Perdana Mentari kerana telah membuat pelbagai usaha terhadap pembangunan masa depan para belia. 

Wakil Belia Manjung, Khairil Azuan Ariffin menegaskan bahawa tiada lagi pemimpin yang terbaik selain Perdana Menteri dan kerajaa sedia ada kerana mereka sentiasa berinovasi dalam menjayakan program yang berkaitan dengan belia.

“Belia seharusnya memberikan komitmen yang baik kepada kepimpinan beliau kerana kita sudah hidup di dalam negara yang aman dan beliau sentiasa melakukan yang terbaik untuk keamanan negara ini, “ katanya yang juga merupakan Pengerusi Belia Lumut. 

Sementara itu, wakil belia Kapar, Amirul Faez Samiran berkata, perhimpunan seperti inilah yang diinginkan oleh belia kerana mereka dapat merasai yang diri mereka dihargai oleh pihak kepimpinan tertinggi Malaysia.

“Terima kasih kepada pucuk pimpinan negara dan kementerian yang terlibat menganjurkan HBN dan kami (belia Kapar) berharap beliau akan terus berjuang untuk kemajuan negara ini,” ujarnya. 

Wakil Belia Pulau Pinang, Mohd. Hafiz Mohd. Ali berkata kepimpinan beliau sungguh bermakna dan berharap semua belia khususnya di Pulau Pinang akan sentiasa maju dengan kepimpinan beliau.

“ Kami sangat yakin dengan kepimpinan beliau dan kerana itulah kami wujudkan ‘Najib Adalah Jaguh Inspirasi Belia’ sempena dengan huruf pertama daripada nama beliau. 

“Harapan kami agar program seperti ini dapat diteruskan kerana secara tidak langsung belia dapat menimba ilmu dan melakukan aktiviti yang berfaedah,” katanya disertai dengan sorakan menyokong Perdana Menteri.

Ahli Majlis Fatwa Masjidil Haram Dibayar Oleh UMNO??? Muahahahahaha...



Jika UMNO yang menyatakan bahawa fatwa yang disebarkan PAS bahawa ‘undi PAS masuk syurga’ adalah sesat, maka PAS akan menuduh UMNO cemburu, jahil, sesat hatta kafir.   

Justeru, kita ingin bertanya ahli-ahli PAS, apakah Ahli Majlis Fatwa Masjidil Haram, Sheikh Dr. Sulaiman Saloomi juga cemburu, jahil, sesat atau kafir juga kerana menyatakan fatwa yang digunapakai PAS itu adalah bodoh, jahil dan sesat?  Kenyataan ini dibuat beliau dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia semalam.  

Jawapan pemimpin-pemimpin PAS mengenai kenyataan Dr.  Sulaiman ini sudah boleh dijangka iaitu “bahawa UMNO telah memberi penerangan yang tidak benar mengenai PAS kepada Sheikh Dr. Sulaiman sehingga menyebabkan beliau salah faham mengenai fatwa tersebut”.    

Ahli-ahli PAS totok pun akan turut berkata yang sama sebagai mempertahankan diri mereka.  Sebahagian ahli PAS yang lain pula iaitu yang mampu menggunakan sedikit akal fikiran, akan menafikan bahawa pemimpin mereka pernah berfatwa demikian sebaliknya UMNO yang sengaja mengada-ngadakannya.  

Apa yang pasti, pemimpin dan ahli PAS akan melakukan apa sahaja untuk menyedapkan hati sendiri setelah menyedari yang mereka telah tersesat.   Ego dan takbur akan menghalang mereka-mereka dari mengakui kesalahan, jauh sekali untuk kembali ke pangkal jalan.  

Kenyataan Sh. Dr. Sulaiman ini amatlah dialu-alukan di ketika umat Islam di Malaysia berpecah-belah dan keliru akibat dari hasutan ulama-ulama jahat akhir zaman.  Namun, usaha untuk memperbetulkan kembali pemikiran umat yang telah dicelarukan ulama-ulama ini bukanlah mudah.  Rata-rata umat Islam yang celaru itu enggan mengakui kecelaruan mereka kerana terpesong jauh oleh emosi benci dan dendam yang tidak berasas terhadap kerajaan.  

Jika dulu, umat Islam di Malaysia dihasut oleh PAS untuk membenci kerajaan kerana tidak menggunapakai undang-undang Islam dan dianggap kafir, tetapi kini PAS masih terus membenci kerajaan walaupun mereka sendiri telah pun membuang negara Islam dari perjuangannya apabila bekerjasama dengan kafir harbi DAP dan pluralis PKR.

Lebih menyedihkan ialah apabila PAS bukanlah dominan dalam Pakatan Rakyat tetapi menjadi pak turut kepada DAP dan PKR.  Maka, sedar tak sedar, PAS kini sebenarnya sedang membantu perjuangan pluralis PKR dan Kristian Evangelist DAP untuk bertapak di Malaysia secara mutlak melalui penguasaan politik.  

Hakikat yang sukar untuk ditelan ialah kesesatan PAS bukan sedikit, tetapi sudah terlalu jauh dan terlalu dalam, berakar umbi sejak tahun 70an, menjadi barah yang semakin parah kepada ummah.  Dalam hal ini, mungkin kerajaan juga berkongsi sedikit kesalahan kerana tidak mengharamkan saja PAS sejak dahulu.  

Jika dulu, kesesatan PAS terlindung oleh imej ekstrem dan fanatik Islam, tetapi kini kesesatan PAS terserlah dengan duduk di belakang golongan liberal yang meletakkan hak asasi kebebasan mengatasi tuntutan agama.  Bertitik-tolak dari itu, pemimpin-pemimpin mereka terpaksa mengeluarkan kenyataan bercanggah dan merapu semata-mata untuk menjustifikasikan kesepakatan mereka dengan golongan ini.  

Walaupun kesesatan mereka kini jelas dan nyata, tetapi kerana fatwa ‘undi PAS masuk syurga’ telah berakar umbi sekian lama, maka ramai umat Melayu yang tetap kekal di dalam PAS semata-mata mengharapkan syurga mudah.    


Syurga adalah nikmat, rahmat yang diberi kepada manusia yang berbuat kebaikan, yang berbudi kepada manusia lain dan alam semulajadi, yang suci hatinya serta ikhlas perbuatannya.  Syurga adalah untuk manusia yang tahu bersyukur akan nikmat Allah kepadanya, yang menggunakan sebaiknya anggota, pancaindera dan akal kurniaan Allah untuk kebaikan diri sendiri, saudara-saudaranya, manusia sejagat dan alam sekitar.  Syurga adalah untuk manusia yang mengamalkan ayat-ayat Allah untuk meneroka dan mencari ilmu dari seluruh kejadian alam dan cakerawala iaitu matlamat utama mereka dicipta.  

Syurga bukan ditentukan oleh manusia, parti, undang-undang atau kerajaan.  Syurga neraka adalah hak Allah S.W.T.  Kerana itu, kita diberitahu tentang kisah bagaimana seorang pelacur boleh masuk syurga hanya kerana memberi makan seekor anjing serta bagaimana seorang Ulama boleh tergelincir ke neraka kerana riak.   

Kita tidak faham bagaimana ahli-ahli PAS yang kononnya amat mementingkan agama tidak mampu memahami perkara asas dalam agama Islam iaitu tentang syurga neraka yang tidak boleh ditentukan oleh manusia.   Kita tidak faham bagaimana begitu mudah sekali sebahagian dari kita untuk terpesong, terpedaya dan tertipu oleh serban, jubah dan kata-kata yang tidak masuk akal.  

Inilah akibatnya jika gemar menolak penggunaan ‘akal’ dalam membincangkan soal agama.  Sedangkan Allah S.W.T telah menegaskan bahawa ‘akal’ adalah kurniaan tertinggi yang diberikan kepada makhlukNya.  Apa guna diberikan akal jika bukan untuk digunakan terutama dalam menghayati ajaranNya?

Sh. Dr. Sulaiman bukan orang UMNO, bukan orang politik dan bukan mewakili kerajaan Mesir atau mana-mana negara Arab.  Beliau bercakap atas kapasiti seorang Ulama yang bertanggungjawab menyatakan kebenaran demi kebaikan ummah.  

Maka, terpulanglah kepada ahli-ahli PAS untuk terjun bersama serban pemimpin mereka atau mendengar nasihat Sh. Dr. Sulaiman dan kembali ke pangkal jalan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...