Kuala Lumpur : Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, pendirian DAP bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular adalah tetap dan konsisten.
Sehubungan itu, kata beliau, hukum hudud tidak akan dilaksanakan jika pembangkang berjaya mengambil alih Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-13 kerana ia bukan dasar pakatan itu.
Ia kenyataan pertama Kit Siang berhubung isu hudud dan dilihat sebagai 'serangan' balas kepada kenyataan terbaru Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang berkata, pelaksanaan hudud tidak boleh dilengah-lengahkan.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada satu majlis anjuran DAP Pasir Pinji Rabu lalu dan teks ucapannya diterbitkan dalam blognya, limkitsiang.com hari ini.
Dalam entri tersebut, pemimpin kanan DAP itu memberitahu, hudud hanya boleh dilaksanakan jika ketiga-tiga parti komponen pembangkang mencapai persetujuan konsensus.
"Kepimpinan pakatan pembangkang sudah berulang kali menekankan bahawa perlaksanaan hukum hudud (yang diperjuangkan PAS) bukan sebahagian daripada dasar dan polisi yang dipersetujui pakatan pembangkang.
"Ini bererti jika pembangkang berjaya menawan Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang dan membentuk Kerajaan Persekutuan untuk tempoh lima tahun akan datang, hudud bukan sebahagian daripada program yang akan dilaksanakan," katanya sebagaimana dipetik daripada limkitsiang.com.
"Kami berpegang teguh kepada prinsip fundemental kami bahawa negara Islam dan hukum hudud adalah tidak sesuai bagi Malaysia sebagai sebuah masyarakat majmuk.
"Kami tidak menyorok prinsip dan kepercayaan fundamental kami, sama ada daripada Pas atau parti-parti politik lain atau rakyat Malaysia.
"Kami tahu pendirian PAS mengenai negara Islam dan hukum hudud, sama seperti PAS mengetahui pendirian berbeza kami dalam kedua-dua isu ini," kata Kit Siang lagi.
Pendirian Kit siang itu selari dengan kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa pakatan tidak akan melaksanakan hukum hudud selagi tidak mendapat persetujuan DAP serta hukum itu sendiri tiada dalam Buku Jingga.
Sebelum ini pelbagai pihak mendesak Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng menyatakan pendirian DAP mengenai hudud selepas berlaku 'perang' terbuka antara Karpal Singh dengan para pemimpin PAS sejak isu berkenaan kembali ditimbulkan.
Terbaru Isnin lalu, Pengerusi DAP itu menyifatkan alasan Nik Abdul Aziz yang mahu pelaksanaan hudud tidak dilengah-lengahkan sebagai tiada asas serta tidak rasional kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Sumber - Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment
Kepada yang "Anonymous", sila tinggal nama glamer dibawah komen anda. DAP beromen, Pas tanggung, berani komen, sendiri tanggung...hehehehe.. Terima kasih!!