Rata-rata pengundi di Sungai Limau baru-baru ini dikejutkan dengan laporan Harakahdaily yang mengatakan kononnya bapa kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyokong calon Pas dalam pilihan raya kecil kali ini.
Tidak cukup dengan laporan tersebut, jentera Pas juga seakan terdesak apabila turut mengedarkan risalah dan gambar lawatan rombongan calon parti itu ke rumah Baharom Ramli bagi meyakinkan pengundi.
Namun bak kata pepatah, ‘bangkai gajah masakan dapat ditutup dengan nyiru’. Pembohongan mereka akhirnya terbongkar, apabila Baharom Ramli yang juga dikenali sebagai Pak Ngah menafikan laporan tersebut. Malah beliau turut melahirkan rasa kesal atas fitnah tersebut yang jelas cuba menarik sokongan pengundi dengan cara yang kotor.
“Anak saya lebih utama. Kita mesti utamakan anak kita dahulu (merujuk kepada cara kempen yang cuba menggunakan beliau untuk memburukkan Jamil Khir)” katanya ketika ditemui oleh pihak media.
Pak Ngah juga mengatakan, beliau amat tidak bersetuju nama beliau digunakan untuk kempen pilihan raya ini. Ketika diminta mengulas mengenai peluang Pas dalam PRK ini, beliau mengatakan ia agak sukar.
Datuk Mukhriz Mahathir kesal dengan tindakan PAS yang cuba meraih simpati apabila mempolitikkan kunjungan mereka ke rumah bapa kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang diserang penyakit angin ahmar sejak tiga tahun lalu.
Menteri Besar Kedah itu berkata, tindakan calon PAS, Mohd Azam Abdul Samat bersama Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar menziarahi Baharom Ramli, 77, di kediamannya di Kampung Ulu Sedaka menimbulkan tanda tanya khususnya mengenai keikhlasan dan motif disebalik tindakan tersebut.
"Ini soal keikhlasan, saya tertanya-tanya mengenai niat calon PAS apabila beliau menziarahi bapa kepada Datuk Seri Jamil Khir Baharom, kemudian ambil gambar dan terus muat naik (di internet)," katanya
Umum mengetahui jentera Pas sedang berdepan dengan masalah perpecahan dalaman dan berkemungkinan akan kalah di kubu kuat mereka ini. Malah melalui ceramah-ceramah yang diadakan sepanjang masa berkempen ini juga jelas menyaksikan parti itu gagal menarik sokongan masyarakat setempat.
Walaupun mereka mengadakan ceramah hampir setiap malam, namun hanya sekitar 5 – 20 orang sahaja yang hadir untuk mendengar bebelan pimpinan parti itu menabur fitnah memburukkan calon Umno dan kerajaan. Hinggakan ada di kalangan penduduk setempat yang mempersoalkan, keikhlasan Pas dalam membela masyarakat di Sungai Limau.
“Kami langsung tidak mengetahui, apakah misi dan visi calon Pas sekiranya diberi mandat untuk mewakili masyarakat di sini. Setiap kali ceramah, mereka hanya memburukkan calon dan kerajaan BN.
“Patutnya, mereka menjelaskan isu-isu yang akan dijadikan keutamaan sekiranya menang” jelas salah seorang pengundi yang ditemui di Kampung Titi batu.
No comments:
Post a Comment
Kepada yang "Anonymous", sila tinggal nama glamer dibawah komen anda. DAP beromen, Pas tanggung, berani komen, sendiri tanggung...hehehehe.. Terima kasih!!