Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan membentangkan belanjawan negara bagi tahun 2013 pada hari Jumaat 28 September.
Ini merupakan bajet yang ke empat yang dibentangkan di Dewan Rakyat sejak memegang tampuk pentadbiran negara pada April 2009.
Walaupun ramai yang mengatakan ini adalah bajet pilihan raya kerana ini adalah bajet terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke 13 yang bakal diadakan bila-bila masa sahaja dari sekarang hingga April tahun depan, namun bagi kerajaan Barisan Nasional ia adalah sama sahaja, samada pilihan raya atau tidak.
Program serta projek pembangunan bagi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara perlu diteruskan walaupun rakyat bakal memilih parti mana yang bakal menerajui kerajaan untuk tempoh lima tahun akan datang.
BN sentiasa yakin sokongan padu rakyat kerana ia tidak perlu berbohong mengenai rekodnya yang cemerlang jika dibandingkan dengan pembangkang.
Sebab itu tidak salah kalau Perdana Menteri memberi lebih tumpuan kepada kebajikan rakyat dan pertumbuhan ekonomi dalam belanjawan kali ini.
Malah jika belanjawan kali ini pro-rakyat adalah kerana itulah yang dijanjikan oleh Datuk Seri Najib ketika melancarkan slogan pentadbirannya yang mendahului rakyat dalam segala aspek program pembangunan negara.
Setakat ini Perdana Menteri telah menepati segala janjinya yang dibuat kepada rakyat ketika melafazkan sumpah jawatan dahulu.
Inilah yang menjadi jurang perbezaan yang amat ketara antara kerajaan BN dan pembangkang yang menamakan diri mereka Pakatan Rakyat.
Jika dilihat daripada kemelut air yang berlanjutan di Selangor, kegagalan kerajaan negeri PAS Kelantan membekalkan air bersih kepada rakyat, usaha menumbangkan Menteri Besar PAS oleh anggota Exco daripada parti sendiri dan sikap rasis, sombong dan bongkak yang ditunjukkan oleh DAP di Pulau Pinang, tidak silap kalau dikatakan pembangkang hanyalah satu pakatan untuk menipu rakyat.
Sementara kerajaan BN di bawah Datuk Seri Najib mengorak langkah dan menyusun strategi rapi untuk meningkatkan tahap pendapatan rakyat dan negara di tahun-tahun mendatang, Ketua Pembangkang pula tidak segan silu menabur janji-janji manis yang beliau sendiri tahu tidak mampu di tepatinya.
Ambil sahaja contoh janji-janji yang dibuat Anwar untuk meraih undi antaranya menurunkan harga petrol, menjanjikan pendidikan percuma, menghapuskan PTPTN, menurunkan harga kereta dan terakhir menjanjikan rumah mampu milik kepada rakyat.
Memang bunyinya sedap didengar dan apabila dibaca janji-janji ini di dalam kitab mereka yang dinamakan Buku Jingga, ada juga yang terpikat dan terpangaruh.
Namun hakikatnya adakah semua janji yang dibuat pembangkang praktikal kepada rakyat dan menguntungkan ekonomi negara dalam jangka masa panjang?
Umpamanya Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli ingin menjadi juara kereta murah.
Jika kereta murah memang berduyun-duyun rakyat daripada setiap lapisan masyarakat mungkin akan mampu memiliki kereta idaman mereka tetapi bagaimana pula dengan perancangan untuk mengurangkan kesesakan dan juga kemalangan.
Jika jumlah kereta sudah sesak di jalan raya, kerajaan terpaksa pula membina lebih banyak jalan dan lebuh raya untuk mengatasi kesesakan.
Tol pula perlu dikenakan di lebuh raya baru oleh syarikat konsesi untuk tempoh beberapa dekad.
Rakyat kini merungut kerana di kebanyakan kawasan perumahan tempat meletak kereta tidak mencukupi.
Sudahkah Rafizi memikirkan bagaimana mengatasi masalah tempat parkir yang amat terhad jika cadangan beliau itu menghasilkan lambakan kereta yang tidak terkawal?
Contoh yang mudah ini sudah cukup untuk membuat rakyat faham bahawa pembangkang tidak mampu menjana penyelesaian kepada masalah yang dihadapi samada sosial, ekonomi, pendidikan dan sebagainya.
Anwar hanya menyediakan alternatif bukannya penyelesaian - jika harga petrol kini didakwa tinggi, beliau hanya mengambil jalan mudah dan populis dengan berjanji untuk menurunkan harga.
Begitu juga dengan PTPTN - jika kini pinjaman diberikan kepada ribuan pelajar kolejm dan universiti, Anwar hanya mengambil jalan mudah untuk menghapuskan segala hutang PTPTN dan menjanjikan pendidikan percuma.
Persoalannya adakah pernah Anwar menerangkan walaupun sedikit kepada rakyat cara mana atau mekanisma cadangan-cadangan beliau atau yang terdapat di dalam Buku Jingga ingin dilaksanakan?
Bagi kerajaan BN pula, setiap dasar, program dan projek pembangunan yang hendak dijalankan telah melalui satu proses penilaian yang ketat supaya apabila dilaksanakan kelak menepati tujuan dan matlamat.
Bukannya seperti program air percuma Pakatan Rakyat di Selangor tetapi akhirnya rakyat sendiri yang menyaman kerajaan negeri kerana tidak mampu menunaikan janji.
No comments:
Post a Comment
Kepada yang "Anonymous", sila tinggal nama glamer dibawah komen anda. DAP beromen, Pas tanggung, berani komen, sendiri tanggung...hehehehe.. Terima kasih!!