Tuesday, September 25, 2012

21 September 2012 Aman Tanpa Anwar... Bererti Malaysia Selamat Tanpa Anwar!!!


Tanggal 21 September 2012 yang lepas, umat Islam dari seluruh negara telah berhimpun secara aman di pelbagai lokasi sebagai bantahan terhadap filem Innocecence Of Muslims yang telah menghina agama Islam dan junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Di ibukota Kuala Lumpur, dua perhimpunan dijalankan serentak - satu di perkarangan Masjid Kampung Baru yang dianjurkan oleh Pergerakan Pemuda UMNO manakala satu lagi dilangsungkan di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat, Jalan Tun Razak.

Perhimpunan yang bermula selepas solat Jumaat itu ternyata telah berlangsung dalam keadaan tenteram dan aman tanpa sebarang kejadian tak diingini walaupun kehadiran peserta mencecah ribuan orang.

Agak menarik untuk diperkatakan apabila kelibat Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim yang juga adalah Ketua Pembangkang tidak kelihatan di mana-mana lokasi perhimpunan pada hari itu. Anwar tidak berada di Jalan Tun Razak dan tidak juga menghadiri himpunan di Kampung Baru. 

Di Pulau Pinang, negeri tumpah darahnya juga bayang Anwar langsung tidak nampak sekalipun beberapa himpunan jalanan di sana telah menggabungkan hadirin yang terdiri dari pelbagai parti politik.

Pelik bukan? Tatkala kesucian agama Islam dan imej baik Nabi Muhammad s.a.w dirobek oleh musuh Islam melalui filem Innocence of Muslims, Anwar pula mengambil sikap mengasingkan diri dari menyertai sebarang perhimpunan membantah penghinaan tersebut.

Tidak diketahui sama ada Anwar sengaja tidak menyertainya kerana tidak mahu berhadapan dengan risiko dana asing dari Yahudi Zionis untuk kempen pilihanrayanya dipotong atau sebaliknya, sukar untuk ditentukan misterinya.

Sedangkan selama ini, reputasi Anwar cukup terkenal sebagai antara pemimpin politik yang tidak pernah melepaskan peluang merangka demonstrasi dan menyertai pelbagai perhimpunan jalanan.

Malah sejak dekad 1970-an semasa dirinya masih bergelar pelajar Universiti Malaya (UM), nama Anwar sudah sinonim sebagai pelopor demonstrasi dan himpunan jalanan termasuklah pernah menggemparkan negara dengan isu rekaannya konon ada penduduk di daerah Baling, Kedah yang mati kebuluran.

Manakala semasa era kegelapan reformasi pada akhir 1990-an, Anwar yang ketika itu baru dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri telah mengembleng pengikutnya di seluruh negara untuk berkubu di ibukota seterusnya mencetuskan kekacauan dan mengganggu ketenteraman awam.

Ketika himpunan Bersih 2.0 dan Bersih 3.0 pula Anwar juga tidak melepaskan peluang menghadirinya malah mengambil peluang menyampaikan ucapan politik kepada hadirin.

Lebih menarik lagi, baik ketika Anwar menyertai demonstrasi jalanan tahun 1970-an, perarakan reformasi akhir 90-an hinggalah himpunan jalanan Bersih 2.0 dan Bersih 3.0, semuanya berakhir dengan penuh keganasan dan huru hara.

Dalam demonstrasi 1970-an ramai yang tercedera selepas para pelajar yang diketuai Anwar gagal mengawal diri membawa kepada pertentangan terbuka dengan anggota keselamatan.

Semasa demonstrasi jalanan reformasi pula, berpuluh orang tercedera dan ditahan, serta harta benda awam dirosakkan termasuklah kemusnahan di bahagian hadapan pintu cermin bangunan PWTC. Manakala jalan-jalanraya di sekitar KL pula dipenuhi dengan tayar dan sampah sarap yang dibakar oleh pengikut Anwar.

Demikian juga ketika berlangsungnya himpunan 'aman' Bersih 2.0 dan Bersih 3.0, suasana yang aman dipermulaannya hanya bertahan sekejap cuma, beberapa ketika selepas Anwar berucap, suasana aman dan tenteram terus tergugat dan emosi peserta himpunan membuak-buak dengan emosi amarah yang menggila.

Selanjutnya berlakulah pertentangan terbuka mencabar kewibawaan pasukan keselamatan dan para peserta mula merempuh sekatan serta ada yang mencederakan anggota polis serta menterbalikkan kenderaannya.

Melihat pada sejarah hitam dan reputasi buruk yang melingkari sejarah hidup Anwar, mungkin juga sebenarnya ketidakhadiran Anwar di himpunan membantah penghinaan yang dilakukan oleh filem Innocence of Muslim itu boleh dianggap sebagai satu rahmat untuk para peserta himpunan.

Setidak-tidaknya ia menjadi bukti kukuh bahawa tanpa penglibatan Anwar, sesuatu himpunan aman itu kekal menjadi aman manakala aktiviti harian dan ekonomi dapat terus beroperasi seperti biasa. 

No comments:

Post a Comment

Kepada yang "Anonymous", sila tinggal nama glamer dibawah komen anda. DAP beromen, Pas tanggung, berani komen, sendiri tanggung...hehehehe.. Terima kasih!!